fb fb fb fb fb

Liga Super: PDRM FC, Melaka FC gagal catat kemenangan sulung

Foto FB Malaysian Football League

SELAYANG, 23 Ogos – Hasrat PDRM FC dan Melaka FC untuk mencatat kemenangan sulung dalam saingan Liga Super 2025 terus tertangguh apabila kedua-dua pasukan sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Perlawanan itu menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengatur percubaan, namun kekal tumpul di bahagian penyudah meskipun beberapa peluang terbaik berjaya dicipta sepanjang 90 minit.

PDRM FC terlebih dahulu menguji gawang lawan menerusi sepakan deras Dumbia Bernard Henri pada minit ke-13, namun percubaan tersebut diselamatkan cemerlang oleh penjaga gol Melaka FC, Badelic Gamba Florencio Jr.

Beliau sekali lagi menjadi benteng terakhir apabila menafikan sepakan percuma rendah oleh Park Tae Su pada minit ke-17.

Melaka FC juga mencipta peluang, antaranya menerusi percubaan Patrick Gama Thomaz dan Anderson Brito de Arruda, namun gagal menembusi gawang PDRM yang dikawal kemas oleh Ifwat Akmal Chek Kassim.

Ketua Jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil @ Edwin mengakui anak buahnya gagal memanfaatkan peluang yang ada.

“Secara keseluruhan, persembahan pasukan bermula agak perlahan kemudian babak kedua permainan lebih baik dan ada cipta beberapa peluang tetapi masih gagal untuk menjaringkan gol,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka FC, K. Devan tetap berpuas hati dengan komitmen yang ditampilkan pasukannya meskipun belum mencatat kemenangan.

“Dari segi pertahanan saya rasa kami bertahan dengan baik sebagai satu pasukan tetapi mungkin di bahagian serangan perlukan lebih masa lagi untuk pemain memahami taktikal pasukan dan keserasian," katanya.

Aksi Liga Super seterusnya akan menyaksikan PDRM FC berkunjung ke gelanggang KL City FC, manakala Melaka FC dijadual menentang Sabah FC di tempat lawan.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello