NEGERI SEMBILAN, 24 Disember - Negeri Sembilan FC (NSFC) menamatkan aksi terakhir pusingan pertama Liga Super dengan nota ceria selepas menewaskan Kelantan TRW FC 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Penyerang negara, Luqman Hakim Shamsudin muncul wira skuad Hobin Jang Hobin apabila meledak dua gol untuk menghadiahkan kemenangan keempat pasukan musim ini.
Aksi yang sepatutnya berlangsung di Kota Bharu itu dipindahkan ke Paroi susulan faktor cuaca, dan kelebihan beraksi di laman sendiri dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak buah Nidzam Jamil untuk mengutip tiga mata penuh.
Sejak sepak mula, kedua-dua pasukan tampil agresif dengan corak permainan terbuka serta saling mengasak kubu lawan.
Usaha Negeri Sembilan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-36 apabila Luqman bijak menyambut bola lorongan Jovan Motika sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Kelantan, Azfar Arif Mohd Shukri, sekali gus meletakkan tuan rumah di hadapan.
Jaringan tersebut menyuntik semangat skuad Rusa yang terus menguasai permainan sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan tidak menunggu lama untuk menggandakan kelebihan apabila Luqman memanfaatkan kesilapan Azfar Arif yang gagal mengawal bola di luar kotak penalti sebelum mudah menolak masuk gol kedua pada minit ke-49.
Kelantan cuba bangkit menerusi beberapa gerakan serangan, namun percubaan anak buah Akmal Rizal Ahmad Rakhli gagal menembusi pertahanan tuan rumah sehingga wisel penamat.
Kemenangan itu diraikan 3,205 penyokong yang hadir, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan Negeri Sembilan di Paroi sejak 25 Oktober lalu.