KUCHING, 13 Mac-Kuching City FC memintas Terengganu FC (TFC) untuk berada di tangga keempat Liga Super selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 3-0 di Stadium Negeri pada Rabu (semalam).
Babak pertama perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah bermula garang dengan melancarkan serangan bagi melemahkan benteng pertahanan KDA FC.
Asakan Kuching City FC membuahkan hasil menerusi jaringan bekas penyerang kebangsaan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-44 sekali gus mendominasi perlawanan.
Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol kedua menerusi Muhammad Ramadhan Saifullah Usman pada minit ke-58.
Penyerang berbisa tuan rumah Jordan Mintah melengkapkan gol ketiga Kuching City FC pada masa kecederaan.
Selepas mengharungi 21 perlawanan, Kuching City FC kini berada di tangga keempat dengan 33 mata, satu mata mengatasi TFC, manakala Kedah di tangga ke-11 dengan 20 mata selepas 20 perlawanan berlangsung.