BIRMINGHAM, 13 Mac-Beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berjaya melangkah ke pusingan kedua badminton All England.
Pasangan ranking kelima dunia itu mempamerkan aksi cemerlang apabila berupaya menewaskan pasangan Taiwan, Teng Chun Hsun-Yang Chung Yun, 19-21, 21-15, 21-13.
Terdahulu Pearly-Thinaah dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menyingkirkan lawan dalam masa 51 minit.
Menanti Pearly-Thinaah selepas ini ialah satu lagi pasangan Taiwan Hsu Yin-Hui-Lin Jhih Yun.
Turut mara, beregu lelaki negara, Goh Sze Fei - Nur Izzuddin.
Mereka menundukkan pasangan dari Korea Selatan, Kim Gi-jung Kim Sa-rang, 21-17, 21-14.
Dalam pada itu, nasib berbeza menimpa beregu campuran negara,Chen Tan Jie - Toh Ee Wei.
Mereka tersingkir awal selepas ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto - Gloria Emanuelle Widjaya.
Pasangan ranking keempat dunia itu bermula cemerlang apabila memenangi set pertama, 21-18.
Bagaimanapun, wakil Indonesia bangkit di set kedua dengan kemenangan tipis 22-20 sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan 21-11 di set penentuan.
Kekalahan tersebut menamatkan cabaran mereka di kejohanan berprestij berkenaan.