KUALA LUMPUR, 15 September- Pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC membelasah skuad muda Kedah Darul Aman (KDA) FC 5-0, dengan Paulo Josue muncul wira hatrik pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi.
Pada perlawanan itu, KDA FC yang menurunkan masing-masing lima pemain bawah (B)-23 dan B-20 tahun dalam kesebelasan utama selepas pemain utama pasukan itu dilaporkan memboikot latihan kerana isu tunggakan gaji, ternyata bukan tandingan buat KL City.
Ia apabila Skuad ‘The City Boys’ membuka jaringan pada seawal minit ke-14 menerusi Jovan Motika.
Josue yang juga kapten pasukan menanduk masuk gol kedua pada minit ke-23 manakala pemain tengah Zhafri Yahya melengkapkan gol ketiga menerusi sepakan percuma tiga minit kemudian.
Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah meneruskan pesta gol apabila ledakan kaki kiri Josue ke kanan gawang gagal diselamatkan penjaga gol muda Muhammad Hafizy Mohd Hajazy pada minit ke-49.
Keputusan itu menyaksikkan KL City dan KDA FC di kedudukan kesembilan dan ke-10, masing-masing dengan lapan mata tetapi dibezakan dengan perbezaan gol.
Pengendali KL City FC, Miroslav Kuljanac berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan anak buahnya.
Beliau juga menyifatkan ia sebagai persiapan terbaik buat pasukannya bagi menghadapi perlawanan yang akan datang.
"Tahniah kepada pemain KL City FC dan pihak lawan. Mereka bermain dengan baik, bermain untuk kelab dan saya amat hargai. Saya tahu mereka dalam keadaan sukar tapi saya rasa mereka sudah melakukan yang terbaik," katanya.
Dalam pada itu ketua jurulatih KDA FC, Mohd Nafuzi Zain menyifatkan perlawanan berkenaan merupakan satu pengalaman berharga buat barisan pemain mudanya.
"Kebanyakannya berumur 19 hingga 20 tahun yang menyertai SUKMA sebelum ini dan saya rasa yang lebih umur hanya lima orang pemain sahaja. Selepas SUKMA pun mereka cuti rehat dan tiga ke lima hari lepas itu baru mereka mulakan latihan, jadi masa agak singkat," ujarnya.
Dalam satu lagi aksi, Perak FC berjaya mencatatkan kemenangan ketiga musim ini selepas mengatasi Negeri Sembilan FC (NSFC) 1-0.
Jaringan penyerang import Brazil, Clayton Da Silveira Da Silva pada minit ke-47 sudah cukup membuatkan Jurulatih Yusri Che Lah tersenyum mengutip tiga mata.
Pada perlawanan itu, Perak FC garang dengan asakan bertali arus sejak minit awal perlawanan.
Kapten Luciano Guaycochea hampir menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti namun ditepis penjaga gol, Muhammad Aqil Razak pada minit ke-65.
Perak melonjak ke kedudukan kelapan dengan sembilan mata selepas lapan aksi, diikuti KL City dan KDA FC di kedudukan kesembilan dan ke-10, masing-masing dengan lapan mata tetapi dibezakan dengan perbezaan gol manakala NSFC berada di tangga ke-12 dengan empat mata.