fb fb fb fb fb

Cheptegei, olimpian Uganda yang maut dibakar pasangannya selamat dikebumikan

FOTO REUTERS

KAMPALA, 14 September- Atlet maraton dan olimpian dari Uganda, Rebecca Cheptegei, yang maut selepas dibakar dengan petrol oleh bekas pasangannya, dikebumikan pada hari Sabtu dengan dengan istiadat ketenteraan.

Upacara penghormatan terakhir untuk Cheptegei, seorang sarjan dalam Angkatan Pertahanan Rakyat Uganda, bermula sekitar pukul 10 pagi, dengan pegawai dan saudara-mara berkumpul di pejabat majlis tempatan.

Cheptegei adalah seorang "wira", kata Bessie Modest Ajilong, wakil presiden tempatan, kepada AFP.

Penganjur mengatakan jenazah Cheptegei dibawa dari ibu pejabat majlis tempatan ke stadium sukan berhampiran supaya orang awam boleh memberi penghormatan terakhir. Dia kemudian disemadikan secara rasmi pukul 3 petang.

Ramai atlet telah datang ke kampung kecil itu untuk menghadiri upacara tersebut.

Cheptegei pulang ke kampung halamannya di kawasan tinggi di barat Kenya, sebuah kawasan popular dengan pelari antarabangsa kerana kemudahan latihan ketinggian, selepas menduduki tempat ke-44 dalam maraton di Olimpik Paris pada 11 Ogos.

Itulah perlumbaan terakhirnya.

Tiga minggu kemudian, bekas teman lelakinya, Dickson Ndiema Marangach, didakwa menyerang Cheptegei ketika dia pulang dari gereja bersama dua anak perempuannya dan adik perempuannya di kampung Kinyoro.

Bapanya, Joseph Cheptegei, memberitahu Reuters bahawa anak perempuannya telah membuat laporan kepada polis sekurang-kurangnya tiga kali terhadap Marangach.

Laporan terbaru pada 30 Ogos, dua hari sebelum serangan yang didakwa dilakukan oleh bekas pasangannya itu.

Cheptegei melecur 80% pada tubuhnya dan meninggal dunia empat hari kemudian.

"Saya rasa saya tidak akan selamat," kata Cheptegei kepada bapanya semasa dirawat di hospital.

"Jika saya mati, cuma tanamkan saya di rumah di Uganda."

Kematian tragis Cheptegei mencetuskan kemarahan awam mengenai keganasan terhadap wanita di Kenya, terutamanya dalam komuniti sukan, dengan pelari maraton itu menjadi pelari elit ketiga yang didakwa mati di tangan pasangan mereka sejak 2021.

Satu daripada tiga gadis atau wanita Kenya berumur 15-49 tahun dilaporkan mengalami keganasan fizikal, menurut data kerajaan dari 2022.

Kumpulan hak asasi manusia mengatakan atlet wanita di Kenya berada dalam risiko tinggi dieksploitasi dan mengalami keganasan oleh lelaki yang hanya tertarik kepada wang mereka, jauh melebihi pendapatan tempatan.

Kejayaan sukan Cheptegei termasuk memenangi World Championship Mountain and Trail Running 2021 di Thailand dan memperoleh tempat pertama dalam Maraton Padova di Itali serta mencipta rekod kebangsaan untuk maraton.

Dilahirkan di timur Uganda pada tahun 1991, dia bertemu Marangach semasa lawatan latihan ke Kenya, kemudian berpindah ke negara itu untuk mengejar impiannya menjadi pelari elit.

Marangach turut meninggal dunia beberapa hari selepas Cheptegei, akibat terbakar yang didakwa dialaminya semasa serangan.

Kematian Cheptegei mengejutkan dunia, tetapi namanya mungkin masih memberi inspirasi kepada atlet masa depan, dengan ibu kota Perancis merancang untuk menamakan kemudahan sukan bagi memberi penghormatan kepadanya.

"Dia memukau kami di sini di Paris. Kami melihatnya. Keindahannya, kekuatannya, kebebasannya," kata Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo, kepada wartawan. "Paris tidak akan melupakan dia."-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE