fb fb fb fb fb

Hargai pencapaian Bonnie, Sarawak bakal beri insentif khas

Bonnie (tengah) disambut meriah di Lapangan Terbang Antarabngsa Kuching hari ini / FOTO RTM

KUCHING, 14 September- Kerajaan Negeri Sarawak merancang untuk memberikan insentif khas kepada atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin susulan kecemerlangannya pada temasya Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, perkara tersebut akan dicincangkan bersama-sama Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Bagitupun, katanya kerajaan negeri perlu menunggu jumlah insentif yang diberikan oleh Kerajaan Pusat sebelum menentukan jumlah yang akan dihadiahkan kepada Bonnie.

"Kita kena bicang dengan Premier dahulu, tetapi sebelum itu kita tunggu pemberian insentif daripada Kerajaan Pusat,"katanya.

Pemberian insentif tersebut sebagai menghargai kecemerlangan Bonnie yang sudah mengharumkan nama negara dan Sarawak khususnya.

Tambah DatukSeri Fatimah, semangat, iltizam dan komitmen yang dipamer Bonnie merupakan resepi penting bagi mencapai tahap juara.

“Atlet-atlet para yang lain juga boleh mencapai kejayaan seperti Bonnie, ikutlah contoh Bonnie. Untuk sampai ke peringkat ini perlukan pengorbanan, iltizam tinggi, disiplin dan Bonnie juga ada sistem sokongan yang bagus dengan bantuan-bantuan daripada jurulatih dan orang sekeliling," jelas beliau.

Sementara itu, Bonnie yang ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching mengakui pingat emas yang dimenanginya pada Sukan Paralimpik Paris 2024 didekasikan buat keluarganya.

Beliau juga mahu meluangkan masa dengan keluarga selepas tidak bertemu mereka selama kira-kira tiga bulan berikutan fokus dengan persediaan ke Paralimpik Paris 2024 selain fokus pemulihan kecederaan di bahu.

Dalam pada itu, beliau juga berharap lebih ramai atlet pelapis tampil ke hadapan bagi sukan powerlifting.

“Saya turut berharap pada tahun akan datang ada atlet lain yang menyerlah selain daripada saya di peringkat antarabangsa, saya berharap di Paralimpik Los Angeles nanti akan ada kemunculan atlet baharu,” ujar beliau yang ditemui pemberita semasa sambutan kepulangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Sementara itu, bapanya, Gustin Jenang yang juga bekas atlet para negara berkata, anak keduanya itu sering mengikut beliau menjalani latihan angkat berat sejak berusia 13 tahun.

“Apabila Bonnie menunjukkan minat, saya nasihatkan dia supaya buat betul-betul, tanamkan semangat dan jangan main-main. Buat terus," katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE