fb fb fb fb fb

EPL : Forrest malukan Liverpool di Anfield

Pemain tengah Nottingham Forest, Anthony Elanga, melompat untuk merebut bola semasa aksi Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Nottingham Forest di Anfield / FOTO AFP

LONDON, 15 September- Permulaan sempurna Liverpool bawah kendalian Arne Slot berakhir dengan mengejut apabila Nottingham Forest menang 1-0 di Anfield pada Sabtu, manakala dua jaringan Erling Haaland memastikan Manchester City berada tiga mata di puncak Liga Perdana selepas menang 2-1 ke atas Brentford.

Manchester United pula berjaya mengurangkan tekanan ke atas Erik ten Hag dengan kemenangan selesa 3-0 di Southampton.

Forest tidak pernah menang di Anfield dalam liga utama selama 55 tahun, tetapi penyokong tuan rumah dikejutkan dengan gol kemenangan oleh Callum Hudson-Odoi 18 minit sebelum tamat aksi.

Liverpool telah memenangi kesemua tiga perlawanan awal mereka bawah pimpinan Slot tanpa bolos, termasuk kemenangan 3-0 ke atas Manchester United dua minggu lepas.

Namun, selepas tempoh rehat antarabangsa, Liverpool tampil lemah dan tidak bersemangat, lalu menerima padah.

"Keputusan yang paling mengecewakan dan kami tidak boleh gembira dengan bagaimana permainan berlangsung. Ia permainan yang banyak berhenti dan kami hampir tidak mencipta peluang," kata Slot.

Kemenangan itu meletakkan Forest di tangga kelima dengan lapan mata daripada empat perlawanan pertama mereka.

Sementara itu, City memanfaatkan kekalahan Liverpool untuk mengukuhkan kedudukannya di puncak liga dengan kemenangan keempat berturut-turut.

Namun pada aksi yang berlangsung di Stadium Etihad itu, pelawat terlebih dahulu membuka jaringan oleh Yoane Wissa selepas hanya 22 saat sepak mula.

Namun, prestasi Haaland pada awal musim ini tetap tidak dapat disankal, walaupun pemain Norway itu terlepas peluang mencipta hatrik ketiga berturut-turut dalam Liga Perdana.

Haaland menyumbat gol penyamaan dan gol kemenangan City masing-masing pada minit ke-19 dan 32 untuk skuad The Cituizens ceria mengutip tiga mata penuh untuk gah di puncak liga.

Manchester United pula berjaya bangkit selepas dua minggu tertekan akibat kekalahan memalukan oleh Liverpool, dengan kemenangan meyakinkan 3-0 di Southampton.

The Red Devils memerlukan aksi cemerlang Andre Onana yang menyelamatkan penalti Cameron Archer sebelum dua gol dalam tempoh lima minit sebelum rehat mengubah keadaan perlawanan sepenuhnya.

Matthijs de Ligt menanduk masuk gol pertamanya untuk United, dan Marcus Rashford menamatkan kemarau gol selama enam bulan dengan jaringan cantik ke sudut bawah gawang.

Alejandro Garnacho menambah gol ketiga pada masa kecederaan selepas kapten Southampton, Jack Stephens, dilayangkan kad merah.

Di Villa Park, Aston Villa mencatat kemenangan 3-2 ketika melayan kunjungan Everton.

Pun begitu, pelawat terlebih dahulu di depan dengan dua jaringan masing-masing oleh Dwight McNeil dan Dominic Calvert-Lewin sebelum tuan rumah merapatkan jurang menerusi Ollie Watkins sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, Watkins sekali lagi mencetak nama selaku penjaring untuk menyamakan kedudukan sebelum Jhon Duran meledakkan gol jarak jauh yang menakjubkan, memberikan Villa kemenangan ketiga daripada empat perlawanan.

Dalam pada itu, Christopher Nkunku pula menjaringkan gol lewat untuk membantu Chelsea, yang dibarisi pemain dengan nilai berbillion pound, mencatatkan kemenangan tipis 1-0 di Bournemouth.

Chelsea patut berterima kasih kepada penjaga gol mereka, Robert Sanchez, yang berjaya menyelamatkan penalti Evanilson pada separuh masa pertama sebelum Nkunku masuk dari bangku simpanan untuk menyudahkan hantaran Jadon Sancho.

Di Amex, Brighton kekal tanpa kalah, namun gagal menjaringkan gol dalam keputusan seri 0-0 menentang Ipswich.

Crystal Palace pula bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk mencatat keputusan seri 2-2 menentang Leicester, terima kasih kepada dua gol Jean-Philippe Mateta.

West Ham juga berjaya mendapatkan keputusan seri 1-1 lewat permainan apabila Danny Ings menjaringkan gol untuk mencuri mata di Fulham.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE