fb fb fb fb fb

Liga Super: FIFA luluskan penggunaan VAR

Foto FB MSL

KUALA LUMPUR, 3 Mei - Penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk musim ini telah mendapat pengiktirafan dan kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) secara rasmi menjelang sepak mula 10 Mei ini.

Perkara tersebut disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram.

Jelas beliau, ia merupakan satu kebanggaan kepada Malaysia kerana muncul antara 68 negara mendapat pengiktirafan dan kelulusan FIFA untuk menggunakan VAR.

Beliau berkata kelulusan itu diberikan selepas delegasi FIFA dan tenaga pengajar VAR FIFA melakukan proses penilaian serta ujian terhadap tahap kemahiran pengadil dan keberkesanan teknologi VAR di Malaysia, bulan lepas.

Dalam pada itu, katanya pelaksanaan VAR dalam Liga Malaysia dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pengadil tempatan dipilih untuk bertugas di peringkat lebih tinggi iaitu Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan FIFA, selain diharap mampu meningkatkan mutu bola sepak negara.

Sebanyak enam perlawanan percubaan baru-baru ini telah dijalankan oleh FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia selaku badan pentadbir Liga M bagi tujuan melihat tahap kemahiran pengadil dan keberkesanan teknologi VAR.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD