fb fb fb fb fb

Liga Premier: Perak FC tewas kepada Kelantan FC 1-3

IPOH, 17 April - Perak FC terus dirundum malang selepas tewas kepada Kelantan FC, 1-3 malam tadi. Beraksi di laman sendiri, Perak FC terlebih dahulu di depan hasil jaringan tonggak pertahanan Muhammad Nazmi Ahmad pada minit ke-21.

Gol berpunca rembatan Kapten Perak FC, Firdaus Saiyadi yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Kelantan FC, Ahmad Solehin Mamat sebelum mudah ditolak
masuk pertahanan tinggi lampai tersebut.

Aksi panas di penghujung separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan dipaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Danial Hadri Effendi dan Royizzat Daud diperintah keluar padang oleh pengadil Muhd Izzul Fikri Kamaruzaman.

Bersambung babak kedua, aksi bertenaga ditampil skuad The Red Warrior menyaksikan Nurshamil Abd Ghani menyumbat gol penyamaan pada minit ke-48.

Syed Sobri Syed Mohd kemudian meletakkan Kelantan FC di depan pada minit ke-66 menerusi jaringan hasil sepakan percuma.

Berselang 5 minit kemudian, anak-anak buah Rezal Zambery Yahya terus bernafsu mencipta jaringan ketiga sekali lagi hasil sentuhan penyudah
Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-71.

Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah bagaimanapun tetap bangga dengan persembahan pemainnya meskipun hanya mendaftarkan 15 pemain untuk perlawanan tersebut.

"Secara fizikal mereka mampu untuk beraksi 90 minit, mungkin yang kita tak mampu jaga ataupun kita tak kenal pasti mentally, preparation para pemain dan saya kagum dengan usaha mereka bagi saya kekalahan kita terima, malam ni tak seperti mana perlawanan terdahulu, walaupun kita hadir dengan enam mata yang dah dipotong, dia berlainan dengan team yang sedang mengejar kejuaraan dengan kita ni mengejar nak menutup baki enam point," katanya pada sidang media malam tadi.

Sementara itu, Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berpuas hati dengan aksi ditonjolkan barisan pemainnya selepas bangkit mencipta 3 gol pada babak kedua.

"Apa yang penting adalah kesungguhan, comeback daripada pemain-pemain saya tu yang harus saya puji walaupun sudah ketinggalan 1-0 di separuh masa pertama, dan bermain dengan 10 orang, so ada taktikal yang lain kita cuba ubah untuk second half, dan akhirnya berjaya, apa-apa pun terima kasih kepada pemain saya yang telah menunjukkan kesungguhan terutama sekali dalam separuh masa kedua," katanya.


(Pemain Kelantan FC tewaskan Perak FC)

Media Baharu