KOTA BHARU, 28 Julai - Kesilapan sama yang dilakukan barisan pertahanan menjadi faktor Kelantan United (KUFC) terpaksa berpuas hati terikat 1 sama dengan Skuad Projek FAM-MSN pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad Keempat, semalam.
Ketua Jurulatihnya, Syamsul Saad berkata, faktor itu menjadi kegusaran pasukannya yang dalam misi merebut slot ke saingan Liga Super musim depan.
Pada aksi tersebut, gawang KUFC dibolosi pada minit ke-6 menerusi gol sendiri pertahanan import dari Jepun, Shuhei Fukai.
"Kami bermain seri, tetapi keseluruhan pasukan kena akui bahawa dengan sasaran sebelum perlawanan, kami tewas pada aksi kali ini.
"Gol yang kami lepaskan sangat mudah dan sebenarnya boleh dielakkan. Ini yang menjadi penyebab dan telah membunuh semangat pemain," kata Syamsul pada sidang media selepas perlawanan.
(Kelantan United FC bermain dalam tekanan pada aksi Liga Premier 2022 semalam/FOTO FB KUFC)
Namun, mereka berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan penyerang Muhammad Haziq Mohd Sobri pada minit ke-52.
Menurut Syamsul, anak buahnya kerap melakukan kesilapan sama iaitu melepaskan gol mudah seperti ketika bertemu Perak, PDRM dan UiTM sebelum ini.
Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Perak itu berharap pemainnya bangkit dan mencari jalan mengatasi kesilapan tersebut pada baki saingan musim ini, jika mahu memenangi slot ke Liga Super 2023.
KUFC kini berada di kedudukan keenam dengan 17 mata hasil daripada empat kemenangan, lima seri dan tiga kekalahan.