LONDON, 24 Oktober- Tottenham melonjak ke puncak Liga Perdana apabila Son Heung-min dan James Maddison memastikan kemenangan 2-0 ke atas Fulham, pada aksi awal pagi tadi.
Pasukan Ange Postecoglou meneruskan permulaan tanpa kalah mereka kepada sembilan perlawanan liga, hasil jaringan pembukaan Son dan gol pertama Maddison di Stadium Tottenham Hotspur sejak perpindahan dari Leicester.
Tirai jaringan dibuka pada minit ke-35 menerusi Son, menewaskan penjaga gol, Bernd Leno dengan satu sepakan lencong dari jarak 18 ela, hasil hantaran pendek Richarlison.
Babak kedua perlawanan menyaksikan perancang baharu dari Leicester City, James Maddison menambah derita Fulham.
Jaringan Maddison terhasil pada minit ke-54, sekali gus merekodkan gol ketiga dalam akaun jaringannya sejak bersama Tottenham.
Fulham adalah satu-satunya pasukan yang menewaskan Tottenham musim ini, menyingkirkan mereka daripada Piala Liga menerusi penentuan penalti pada Ogos.
Skuad Lilywhites membalas kekalahan itu dengan mencatat kemenangan liga ketiga berturut-turut untuk mengukuhkan cabaran kejuaraan yang tidak dijangka mereka.
Tottenham mengatasi Manchester City, Arsenal dan Liverpool untuk mendahului dua mata di puncak liga.
Cabaran pengendali, Postecoglou selepas ini adalah memastikan pemainnya bersedia untuk pemulihan pantas, bertemu derby London, Crystal Palace yang dijadualkan pada Jumaat.- AFP