fb fb fb fb fb

Liga Negara UEFA: Yamal, Nico bawa Sepanyol ke pentas akhir

Foto REUTERS

STUTTGART, 6 Jun-Sepanyol mara ke final Liga Negara-Negara menentang Portugal selepas menewaskan Perancis 5-4 dalam perlawanan mendebarkan di Stuttgart yang menyaksikan pemain muda Lamine Yamal dan Nico Williams mempamerkan aksi memukau.

Yamal, yang baru berusia 17 tahun, menjaringkan dua gol manakala Williams turut meledak satu gol serta mencipta satu bantuan jaringan.

Barisan serangan Sepanyol memanfaatkan sepenuhnya kelemahan pertahanan Perancis.

Mikel Merino dan Pedri turut mencatat nama sebagai penjaring gol, memberikan Sepanyol kelebihan 5-1 sebelum Perancis bangkit lewat permainan.

Perancis merapatkan kedudukan hasil sepakan penalti Kylian Mbappe, rembatan jarak jauh pemain gantian Rayan Cherki, gol sendiri Sepanyol dan tandukan Randal Kolo Muani pada masa kecederaan. Namun, kebangkitan itu tidak mencukupi untuk menghalang Sepanyol daripada mara ke final.

Sepanyol bakal bertemu Portugal dalam perlawanan akhir Liga Negara-Negara di Munich, Ahad ini, manakala Perancis akan menentang tuan rumah Jerman di Stuttgart untuk menentukan tempat ketiga.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD