fb fb fb fb fb

Liga MSNS-KRS, Cobra Venom juara kategori wanita edisi pertama

Foto Fb Selangor Rugby Union

KUALA LUMPUR, 24 Mei - Pasukan ragbi wanita Cobra Venom terus pamer dominasi dalam saingan Liga MSNS-KRS apabila membenam pasukan ragbi wanita Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kemenangan bergaya 55-3.

Kemenangan besar itu menyaksikan skuad bimbingan Mohammad Faiz Samsukhidir kekal gah di puncak liga dengan mengutip 12 mata, hasil empat kemenangan berturut-turut.

ATM yang turun sebagai pencabar gagal menyaingi permainan pantas dan tersusun Cobra Venom, sekali gus kekal di tangga kedua dengan 9 mata diikuti pasukan wanita ragbi Sarawak di kedudukan ketiga dengan 6 mata.

KL Tigers meraih 3 mata dan Barbarians kekal terperosok di dasar liga tanpa sebarang mata.

Perlawanan yang berlangsung di padang Astaka, Petaling Jaya itu menyaksikan permainan mantap Cobra Venom dari awal permainan dengan serangan bertali arus serta disiplin bertahan yang tinggi.

Keupayaan barisan pemain belakang mencipta ruang dengan penyudah yang menarik dilihat menjadi faktor utama kemenangan besar tersebut.

Ia telah melayakkan Cobra Venom untuk dinobat sebagai juara sulung edisi pertama Liga MSNS-KRS bagi kategori wanita tahun ini.

Sementara itu, bagi kategori lelaki Division 1 pasukan Cobra turut mencatat kemenangan besar ke atas pencabar Royal Selangor Club (RSC) 70-8.

Anak buah Wan Norsyahmi Wan Daud memanfaatkan sepenuhnya 80 minit masa perlawanan dengan serangan yang menghasilkan try menarik diikuti conversion.

RSC yang cuba bertahan dan sekali sekala membalas serangan, bagaimanapun gagal mencipta peluang dan terus ketinggalan jauh, tanpa sebarang ruang untuk bangkit.

Kemenangan tersebut mengukuhkan lagi kedudukan Cobra ditempat ketiga liga, mengekori rapat UiTM Lions dan KL Tigers di puncak liga.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI