fb fb fb fb fb

Liga Juara: Napoli mara ke pusingan 16 terakhir

Para pemain Napoli meraikan kejayaan layak ke pusingan 16 terakhir/FOTO REUTERS

NAPLES, 13 Disember- Napoli melangkah ke pusingan 16 terakhir pada Liga Juara setelah menumpaskan Braga 2-0 pada Selasa.

Kemenangan tersebut meletakkan wakil Itali itu di tangga kedua di belakang juara kumpulan C, Real Madrid ketinggalan lapan mata.

Ketua pasukan Napoli, Giovanni Di Lorenzo berkata fokus pasukan tersebut bagi layak ke pusingan ke-16 terakhir telah berjaya.

"Matlamat kami adalah untuk melepasi peringkat kumpulan.

"Kami berjaya melakukannya. Pasukan ini sememangnya layak", kata Di Lorenzo.

"Banyak kerja yang perlu dilakukan bagi memperbaiki sesetengah aspek. namun, kami bermain dengan baik", kata Di Lorenzo kepada DAZN.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadio Diego Armando Maradona, Napoli yang beraksi sebagai tuan rumah membuka tirai jaringan hasil jaringan sendiri pemain pertahanan Braga, Serdar Saatci yang tertampan masuk hasil umpanan Matteo Politano pada minit ke-9.

Napoli mengesahkan kemenangan menerusi Victor Osimhen yang berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-33.

Jaringan itu juga merupakan jaringan pertama Osimhen dalam Liga Juara musim ini selepas terlepas aksi menentang Union Berlin akibat mengalami kecederaan.

Pasukan Braga yang sesekali memberi ancaman turut memperolehi peluang bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-25, namun rembatan pemainnya, Andre Horta berjaya ditepis keluar penjaga gol Napoli, Alex Meret.

Bersambung babak kedua, Pengurus Napoli, Walter Mazzari membuat dua pertukaran dengan mengeluarkan Di Lorenzo dan Osimhen. Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat permainan.

Sementara itu, Pengurus Napoli, Walter Mazzari berkata pasukan bimbingannya kini telah kembali di landasan kemenangan setelah tewas dalam tiga perlawanan sebelum ini.

"Saya harus memberi pemahaman kepada para pemain bahawa ia tidak mudah apabila bergelar juara Itali (Serie-A).

"Saya lebih berminat bercakap tentang tidak melepaskan sebarang gol pada perlawanan ini selain layak ke fasa seterusnya", Kata Mazzari.

Pada musim lalu, Napoli berjaya melangkah ke suku akhir Liga Juara sebelum ditumpaskan oleh musuh setempat, Inter Milan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD