fb fb fb fb fb

FIFA kecam tindakan pesiden kelab tumbuk pengadil

Imej menunjukkan Meler ditumbuk selepas meniup wisel penamat

PARIS, 12 Disember- Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa FIFA, Gianni Infantino pada Selasa menyelar serangan ke atas pengadil bola sepak Turki oleh presiden kelab liga utama Ankaragucu dan menyifatkannya sebagai tidak boleh diterima sama sekali.

Persekutuan Bola Sepak Turki menggantung semua liga selepas pengadil Halil Umut Meler ditumbuk oleh presiden Ankaragucu Faruk Koca selepas pasukannya seri 1-1 dengan Caykur Rizespor pada Isnin.

“Tiada langsung tempat untuk keganasan dalam bola sepak, dalam atau di luar padang,” kata Infantino dalam satu kenyataan di media sosial.

"Insiden selepas perlawanan Super Lig Turki antara MKE Ankaragucu dan Caykur Rizespor sama sekali tidak boleh diterima dan tidak mempunyai tempat dalam sukan atau masyarakat kita."

“Tanpa pegawai perlawanan tidak ada bola sepak,” tambah Infantino.

"Pengadil, pemain, peminat dan kakitangan perlu berada dalam keadaan selamat dan terjamin untuk menikmati permainan.

"Saya menyeru pihak berkuasa untuk memastikan ianya dilaksanakan dengan ketat dan dihormati di semua peringkat."

Rakaman video pada insiden malam Isnin menunjukkan Koca meluru ke padang bersama sekumpulan lelaki dan melepaskan tumbukan ke arah Meler sejurus selepas dia meniup wisel penamat.

Mahkamah telah meletakkan Koca dan dua yang lain dalam tahanan pra-perbicaraan kerana "mencederakan dan mengancam pegawai awam".-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE