LIVERPOOL, 6 November-Hatrik Luis Diaz membantu Liverpool mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Juara selepas menundukkan wakil Jerman, Bayer Leverkusen 4-0.
Pengendali leverkusen yang juga bekas pemain tengah Liverpool, Xabi Alonso mengakui kepulangannya ke Anfield adalah sesuatu yang pahit susulan kekalahan tersebut.
Liverpool kini di bawah bimbingan Arne Slot mencatat permulaan cemerlang sebagai pengurus dengan kemenangan ke-14 dalam 16 perlawanan bagi semua kejohanan.
"Satu perkara ialah permainan, dan perkara lain ialah sambutan yang diterima," kata Alonso, yang beraksi bersama Liverpool dari 2004 hingga 2009.
“Saya rasa pahit tetapi amat menghargai dan berterima kasih atas sambutan ini. Namun, pastinya lebih baik jika keputusan perlawanan lebih memihak kepada kami,” tambahnya.
Leverkusen kini mengumpul tujuh mata daripada empat perlawanan Liga Juara-Juara, namun malam yang sukar ini mendedahkan jurang antara mereka dan prestasi cemerlang musim lalu. Leverkusen menduduki tangga keempat dalam Bundesliga, tujuh mata di belakang pendahulu liga, Bayern Munich.
Pada perlawanan tersebut, Slot membuat keputusan bijak dengan menukar posisi Diaz ke peranan penyerang tengah, dan hasilnya Diaz mencipta hatrik pertamanya untuk kelab itu.
“Separuh masa kedua kami dapat menyesuaikan pelan permainan, mengambil lebih banyak risiko, dan lebih baik dalam penguasaan bola.
"Terdapat tekanan ketika bekerja atau bermain di Liverpool, tetapi kami menikmati tekanan ini kerana kami mahu bersaing dalam semua kejohanan", kata Slot.
Pada minit ke-60, Curtis Jones memecah kebuntuan dengan gerakan cantik sebelum menghantar bola tepat kepada Diaz, yang dengan tenang menewaskan penjaga gol Leverkusen, Lukas Hradecky.
Dua minit kemudian, Liverpool menambah satu lagi gol melalui tandukan Gakpo hasil hantaran lintang Mohamed Salah. Meskipun bendera ofsaid dinaikkan, VAR menunjukkan Gakpo berada dalam kedudukan sah untuk menjaringkan gol keenamnya musim ini.
Victor Boniface hampir mengurangkan defisit untuk Leverkusen, namun tandukannya tersasar.
Liverpool kemudian melengkapkan kemenangan tujuh minit sebelum masa tamat apabila Diaz mengawal bola hantaran Salah dan menyudahkannya dengan penuh yakin.
Diaz melengkapkan hatriknya pada masa kecederaan selepas menyudahkan hasil percubaan Darwin Nunez.
Liverpool kini mengumpul 12 mata, hampir pasti melangkah ke peringkat kalah mati dan menghampiri tiket terus ke kelompok 16 pasukan terbaik.
Leverkusen tergelincir ke tangga ke-11, namun Alonso tetap optimis untuk mara ke pusingan seterusnya dengan tiga daripada empat baki perlawanan bakal berlangsung di laman sendiri.-AFP