fb fb fb fb fb

Liga Juara: Gol Martinez bawa Inter ke 16 terbaik

FOTO AFP

SALZBURG, 9 November - Gol menerusi penalti minit akhir perlawanan oleh Lautaro Martinez membolehkan Inter Milan menang 1-0 ke atas Salzburg pada perlawanan kumpulan D Liga Juara pagi tadi.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan wakil Itali itu mara ke pusingan 16 terbaik.

Lautaro Martinez yang juga penyerang kebangsaan Argentina yang dimasukkan sebagai pemain gantian menjaringkan gol lima minit sebelum tamat perlawanan setelah pasukan bimbingan Simone Inzaghi itu diberikan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain pertahanan Sazburg.

Pada perlawanan yang berlangsung di Red Bull Arena itu, pasukan tuan rumah dilihat mengasak pintu gol Inter Milan sejak mula perlawanan bagi menjaringkan gol.

Bagaimanapun, Inter berjaya menyerap asakan tuan rumah dan berpeluang menjaringkan gol menerusi percubaan masing-masing daripada Davide Frattesi dan Alessandro Bastoni.

Martinez yang telah menjaringkan 12 gol dalam 11 penampilan di Serie A musim ini turut berpeluang menjaringkan gol pendahuluan buat Inter, namun percubaannya dinafikan oleh palang gol.

Kemenangan itu meletakkan Inter Milan di tangga kedua kumpulan berkongsi mata bersama pendahulu, Real sociedad 10 mata.

Salzburg pula berada di tangga ketiga dengan tiga mata dan masih mempunyai baki dua perlawanan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD