BARCELONA, 17 Februari - Manchester United hampir berjaya mengejutkan Barcelona pada pertemuan pertama pusingan kalah mati sebelum diikat 2-2 di Camp Nou awal pagi tadi.
Keputusan itu bagaimanapun memberi sedikit kelebihan buat skuad kendalian Erik Ten Hag itu menjelang pertemuan timbal balik kedua di Old Trafford, minggu depan.
Pada aksi tersebut, United dilihat lebih mendominasi permainan, namun Barcelona terlebih dahulu di depan pada awal babak kedua menerusi tandukan Marcos Alonso.
Ini tidak mematahkan semangat The Red Devils yang berjaya bangkit meledak dua gol menerusi Marcus Rashford serta jaringan sendiri pertahanan Barca, Jules Kounde.
Kedudukan 2-1 itu tidak bertahan lama apabila pemain sayap Brazil, Raphinha menyamakan jaringan hasil kesilapan pertahanan United.
Meskipun berpuas hati dengan aksi pemainnya, Ten Hag bagaimanapun mengakui United sepatutnya menang dalam pertemuan itu, sekali gus memadam badi kekalahan di Camp Nou.
"Apabila berdepan pendahulu liga di Sepanyol dengan mempamer aksi yang lebih dominan terutamanya di gelanggang lawan, saya rasa ia sesuatu yang positif.
"Kami sepatutnya memenangi perlawanan ini. Jadi kami ada satu lagi pertemuan dan saya rasa kedua-dua pasukan dalam prestasi terbaik," kata Ten Hag.
Sementara itu, ketua jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez tetap positif meskipun pasukannya gagal membawa bekalan selesa ke Old Trafford minggu
"Saya tetap puas hati walaupun seri. Kami hadapi pasukan yang berkualiti di Eropah ketika ini. Mereka bermain dengan baik secara berpasukan.
"Jika kami dapat pamer aksi seperti 10 minit terakhir pada aksi kedua di Old Trafford, saya rasa kami mampu tewaskan mereka," kata Xavi.
Pasukan Catalan itu bakal turun tanpa khidmat dua tonggak muda mereka selepas pemain perancang Pedri mengalami kecederaan serta penyerang sayap, Gavi digantung satu perlawanan.-AFP