fb fb fb fb fb

Liga Europa: Leverkusen bawa bekal selesa ke Jerman

Pemain Bayer Leverkusen, Florian Wirtz menjaringkan gol pertama ketika menentang AS Roma /Foto Reuters

ROME, 3 Mei - Dua gol masing-masing oleh Florian Wirtz dan Robert Andrich memberi kelebihan buat Bayer Leverkusen pada pertemuan pertama separuh akhir Liga Europa menentang AS Roma yang berkesudahan 2-0.

Kemenangan itu sekali gus membawa juara Bundesliga itu menghampiri final pertama kejuaraan Europa buat kelba berkenaan dalam tempoh 22 tahun.

Pengurus Leverkusen, Xabi Alonso berkata para pemainnya menunjukkan persembahan terbaik dan bermain mengikut arahan.

"Kami berjuang habis-habisan dengan persembahan yang matang dan penuh berdisiplin", kata Xabi pada sidang media selepas tamat perlawanan.

"Para pemain bermain dan bertahan dengan baik. Saya berpuas hati dengan persembahan mereka. Namun, kami masih ada satu lagi perlawanan", kata Alonso.

Pada perlawanan yang dilangsungkan di gelanggang lawan, Leverkusen hampir dikejutkan dengan gol pendahuluan menerusi rembatan Romero Lukaku, namun tandukannya singgah di palang pintu gol pada minit ke-21.

Leverkusen kemudiannya membuka jaringan pertama menerusi Florian Wirtz pada minit ke-28 yang melepaskan rembatan menarik memanfaatkan kesilapan yang dilakukan oleh pertahanan Roma.

Leverkusen hampir menambah gol kedua pada minit ke-34 menerusi Jeremie Frimpong yang merembat serong ke arah pintu gol dari luar kotak penalti.

Bersambung babak kedua, Leverkusen terus mendominasi perlawanan dan menjaringkan gol kemenangan menerusi Robert Andrich pada minit ke-73 hasil rembatan deras dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol AS Roma, Mile Svilar bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Roma berpeluang merapatkan kedudukan menerusi tandukan oleh penyerang gantian, Tammy Abraham yang tersasar keluar.

AS Roma bakal bertandang ke Leverkusen Khamis depan bagi perlawanan kedua. Pemenang bakal bertemu Olympique de Marseille atau Atalanta pada final di Stadium Aviva, Dublin 22 Mei ini.-Reuters

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD