BUENOS AIRES, 28 Julai – Boca Juniors terus gagal mencatat kemenangan dalam kempen Clausura Argentina selepas tewas 0-1 kepada Huracan pada aksi di gelanggang lawan, Ahad.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan Matko Miljevic pada minit ke-65 menerusi rembatan menarik ke penjuru atas gawang, sekali gus memberikan kemenangan sulung buat Huracan dalam saingan kali ini. Mereka sebelum ini muncul naib juara Apertura.
Boca masih belum menang dalam tiga perlawanan, dengan hanya dua keputusan seri dan kini menghuni tangga ke-13 Kumpulan B.
Anak buah Miguel Angel Russo dilihat bergelut sekali lagi selepas tersingkir awal dalam pusingan 32 pasukan terbaik Copa Argentina minggu lalu.
Persembahan hambar berterusan menyaksikan penjaga gol Boca, Agustin Marchesin menjadi penyelamat pasukan dengan beberapa aksi menyelamat penting.
Namun, penjaga gol Argentina itu akhirnya tewas kepada percubaan Miljevic, memastikan Huracan membawa pulang tiga mata berharga.
Boca dijadualkan melayan kunjungan Racing Club dalam aksi seterusnya pada Sabtu ini, dengan tekanan terus memuncak ke atas barisan kejurulatihan dan pemain untuk segera bangkit. - REUTERS