fb fb fb fb fb

Leverkusen bakal tamatkan dominasi Bayern Munich-Lahm

Bekas Ketua Pasukan Bayern Munich, Philipp Lahm/ Foto REUTERS

MUNICH, 29 Mac -Bekas ketua pasukan Bayern Munich, Philipp Lahm menaruh keyakinan bahawa pasukan Bayer Leverkusen yang sedang mengintai kejuaraan pertama Bundesliga bakal menamatkan dominasi Bayern Munich selama 11 tahun di liga berkenaan tahun ini.

Lahm, yang pernah menjuarai Piala Dunia ketika bersama skuad kebangsaan Jerman pada 2014 dan kini merupakan Pengarah Kejohanan Euro 2024 berkata dia turut mengikuti prestasi cemerlang Bayer Leverkusen yang merekodkan aksi tanpa kalah musim ini yang membawa pasukan berkenaan mendahului kedudukan Bundesliga dengan 70 mata, iaitu 10 mata mengatasi Bayern Munich di tempat kedua.

"Terdapat lapan perlawanan yang perlu diharungi dan perbezaaan sebanyak 10 mata merupakan jurang yang besar.

"Saya percaya Bayer Leverkusen akan menjadi juara liga musim ini", kata Lahm kepada Reuters.

"Saya tidak berasakan ia sesuatu yang buruk buat Bundesliga sekiranya terdapat pasukan selain Bayern Munich menjadi juara. Musim lalu, persaingan menjadi juara ditentukan pada perlawanan terakhir musim lalu.

"Leverkusen mempamerkan prestasi konsisten sejak permulaan liga.

"Mereka juga mempunyai sedikit nasib bagi mengubah situasi untuk memihak kepada mereka. Paling penting setiap pemain mengetahui peranan masing-masing hasil bimbingan Xabi Alonso", tambah Lahm.

Sementara itu Lahm turut melihat prestasi bekas pasukannya, Bayern Munich yang terumbang-ambing disebabkan masalah pengurusan dan kegagalan mencari pengurus yang tepat bagi mengembalikan semula kegemilangan pasukan berkenaan.

"Bayern perlu mencari pengurus dan jurulatih yang tepat. Pengurus-pengurus sebelum ini hanya mampu bertahan antara setengah sehingga satu tahun sahaja.

"Ini sebenarnya merupakan kunci kepada kejayaan termasuk pihak pengurusan kelab", kata Lahm.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD