KUMAMOTO, 17 November- Impian perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao untuk merangkul gelaran pertama tahun ini tidak kesampaian apabila tewas di pertemuan akhir Kumamoto Masters di tangan Li Shifeng dari China petang tadi.
Li, yang menghuni rangking ke-9 dunia, menang mudah dengan skor 21-10, 21-13 ke atas Jun Hao, yang tampil dalam final Super 500 pertamanya dalam jelajah dunia badminton.
Terdahulu Li berjaya menewaskan juara Olimpik berganda dari Denmark, Viktor Axelsen, di separuh akhir dan terus mempamerkan aksi cemerlang di penentuan akhir dengan kemenangan dalam masa 44 minit.
Pemain berusia 24 tahun itu meraikan kejayaannya dengan aksi balik kuang akrobatik di gelanggang.
“Segalanya berjalan seperti dirancang, Jun Hao pemain yang kuat, kami berdua mahukan gelaran ini. Ia adalah pengalaman yang sangat penting untuk saya,” kata Li kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sementara itu, Jun Hao yang mengalahkan ramai pemain utama sepanjang kejohanan, termasuk kemenangan epik di separuh akhir ke atas pilihan keempat dari Indonesia, Jonatan Christie, kelihatan keletihan di final selepas empat perlawanan sengit sebelum ini yang semuanya berakhir dengan tiga set.
“Saya telah buat yang terbaik,” kata Jun Hao. “Dalam perlawanan itu, saya berikan segalanya untuk menjadi yang terbaik hari ini.”
Dalam perlawanan akhir perseorangan wanita, pilihan kedua tuan rumah, Akane Yamaguchi, muncul juara dengan menumbangkan pilihan kelima dari Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung.
Yamaguchi dengan mudah mengatasi Tunjung dengan keputusan 21-12, 21-12. Ini adalah gelaran kedua bagi juara dunia dua kali itu pada tahun ini selepas menjuarai Terbuka Jepun di Yokohama pada bulan Ogos.
“Bermain di tanah air memberikan motivasi yang besar kerana sokongan peminat, dan ibu bapa saya juga ada di sini,” kata Yamaguchi. “Saya dengar mereka bersorak untuk saya, dan itu memberikan tenaga tambahan.”
Dalam beregu campuran, pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran, menewaskan pasangan Perancis, Thom Gicquel dan Delphine Delrue, 21-16, 10-21, 21-17.
Beregu wanita China, Liu Shengshu dan Tan Ning, yang merupakan pilihan kedua kejohanan, memenangi gelaran selepas mengalahkan pasangan Jepun, Yuki Fukushima dan Mayu Matsumoto, 21-15, 21-5.
Dalam pada itu, pasangan beregu lelaki Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto, yang merupakan pilihan ketiga, mengalahkan pasangan Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi, dengan skor 21-15, 17-21, 21-17 untuk merangkul gelaran juara.-AFP