TEXAS, 16 November- Legenda tinju dunia, Mike Tyson, 58 tahun, akur kalah kepada peninju muda profesional, Jake Paul, yang juga seorang pempengaruh Youtuber terkenal dalam aksi heavyweight yang berlangsung di stadium AT&T.
Tyson, 58, hampir tidak melancarkan sebarang tumbukan berkesan sepanjang lapan pusingan perlawanan yang berlangsung di Stadium AT&T, Arlington.
Paul dengan mudah memenangi ketiga-tiga kad juri dengan markah besar, 80-72, 79-73 dan 79-73.
Paul, 27 tahun, menggunakan kelebihan kelajuan dan pergerakannya untuk menguasai Tyson, yang semakin berusia.
Namun, bekas juara heavyweight yang pernah memegang gelaran 'tidak dapat dipertikai' itu berada dalam kesukaran, selepas Paul melancarkan siri tumbukan deras pada pusingan ketiga.
Namun, petinju muda itu gagal memberikan tumbukan KO seperti dijanjikan semasa sesi timbang berat pada Khamis, dengan sedikit ketegangan berlaku apabila Tyson bertindak menampar wajah Paul.
Tyson jelas menunjukkan tanda-tanda usianya yang kini 58 tahun, hanya berjaya mendaratkan beberapa tumbukan sempurna sepanjang pertarungan.
Statistik akhir menunjukkan Tyson hanya mendaratkan 18 daripada 97 tumbukan yang dilancarkan manakala Paul melancarkan 278 tumbukan dan berjaya mendaratkan 78 daripadanya.
Ketika saat terakhir pusingan ke-8 hampir tamat, Paul sempat tunduk memberi penghormatan kepada Tyson sebelum loceng penamat berbunyi.
"Pertama sekali, Mike Tyson, ini satu penghormatan. Beri tepukan untuk Mike. Dia yang terhebat sepanjang zaman. Dia legenda, inspirasi saya, dan tanpa dia, kita tidak akan berada di sini hari ini.
Dia ikon dan ini satu penghormatan untuk bertarung dengannya. Dia adalah lelaki paling gagah di planet ini. Perlawanan ini sangat sukar seperti yang saya jangkakan,” kata Paul selepas memeluk Tyson usai perlawanan.
Sementara itu, Tyson pula menyatakan berpuas hati terhadap prestasinya meski tewas.
"Saya datang untuk bertarung. Saya tidak perlu buktikan apa-apa kepada sesiapa, hanya kepada diri sendiri. Saya gembira dengan apa yang saya boleh lakukan.
Tyson turut memuji keupayaan Paul sebagai seorang petinju, menyifatkan lawannya itu sebagai seorang yang sangat baik.
Dia seorang petinju yang sangat bagus,” kata Tyson, yang tidak menolak kemungkinan untuk bertarung lagi pada masa akan datang.
Perlawanan itu dibiayai dan disiarkan oleh Netflix, yang telah menjadikan acara ini sebagai tontonan global.- AFP