KUALA LUMPUR, 25 Oktober -Penganjuran KBS Masters Games 2025 membuktikan golongan berusia kekal aktif dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri sukan komuniti di Malaysia.
Kejohanan yang bertemakan “Semangat kesukanan tidak pernah bersara” itu menghimpunkan lebih 6,000 peserta berusia 40 hingga 60 tahun yang bersaing dalam 23 acara sukan.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, edisi kedua acara yang berlangsung sehingga Ahad menyaksikan peningkatan penyertaan sebanyak enam kali ganda berbanding tahun lalu.
Ia sekali gus menunjukkan kejohanan itu bukan sahaja diminati warga emas, malah membuka ruang latihan sepanjang tahun.
“Saya amat berharap penyertaan peserta dalam KBS Master Games akan terus meningkat setiap tahun. Pertandingan seperti ini penting kerana ia mendorong peserta untuk berlatih secara konsisten sepanjang tahun,” katanya.
Beliau berucap pada majlis perasmian kejohanan berkenaan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Hannah turut menggalakkan kelab sukan, jurulatih dan perniagaan berkaitan sukan memanfaatkan insentif cukai RM1,000 yang diperkenalkan kerajaan Madani untuk perbelanjaan sukan, sebagai sumber pendapatan baharu.
Beliau memaklumkan, terdapat permintaan daripada peserta berusia 60 tahun ke atas untuk turut serta dalam edisi akan datang bagi acara seperti golf dan 'mind sport'.
“Kita akan dapatkan pandangan doktor pakar berkaitan had umur peserta agar lebih ramai warga emas dapat menyertai kejohanan ini,” jelasnya.
Tambah Hannah, Kementerian Belia dan Sukan memperuntukkan RM2 juta bagi penganjuran kali ini, namun manfaat sosial dan kesihatan rakyat jauh melebihi nilai tersebut.
Beliau berharap kejohanan ini dapat dijadikan acara tahunan, sekali gus memperkukuh ekosistem sukan komuniti serta memupuk semangat aktif sepanjang hayat.