fb fb fb fb fb

Deaflympics Jepun 2025: Badminton, tenpin boling sandaran utama pingat Malaysia

Mohd Yusri Abdul Ghani, Ketua Kontinjen Malaysia

SUBANG JAYA, 25 Oktober -Badminton dan tenpin boling dijangka menjadi penyumbang utama pingat kontinjen negara pada Deaflympics Jepun 2025 yang akan berlangsung di Tokyo dari 15 hingga 26 November depan.

Kedua-dua acara itu antara sasaran Malaysia untuk meraih pingat emas berdasarkan prestasi semasa atlet dalam Sukan Asia Tenggara Pekak 2025.

Ketua Kontinjen Malaysia, Mohd Yusri Abdul Ghani berkata, beliau optimis terhadap semangat dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua atlet.

“Kita meletakkan harapan kepada acara tenpin boling dan badminton untuk membawa pulang pingat emas.

Melihat kepada kesungguhan mereka, saya yakin kejayaan di Deaflympics 2022 mampu diulangi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau sesi latihan skuad badminton dan boling kebangsaan di sini, semalam.

Pada Deaflympics 2022, skuad boling negara menyumbang satu pingat emas dan dua perak, menjadikan ia antara penyumbang terbesar kontinjen Malaysia.

Sementara itu, bagi acara badminton, pasangan Wei Ying dan Zu Tung disasarkan sebagai prospek utama untuk meraih emas berdasarkan prestasi cemerlang mereka sepanjang musim ini.

Mohd Yusri yakin kontinjen negara mampu mengekalkan momentum dan membawa pulang kejayaan cemerlang ke tanah air.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN