SEPANG, 25 Oktober -Pelumba wildcard negara, Hakim Danish Ramli, mempamerkan prestasi memberangsangkan pada hari pertama Petronas Grand Prix MotoGP Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Jumaat.
Pelumba berusia 18 tahun itu mencatat masa 2:11.820, hanya 0.668 saat di belakang pelumba Red Bull KTM Ajo, Jose Antonio Rueda.
Keputusan itu sekali gus menempatkan beliau dalam sesi Kelayakan 2 (Q2) selepas merekodkan masa ke-11 terpantas.
Terdahulu, Hakim turut mencatat masa kelapan terpantas pada sesi latihan pertama di sebelah pagi dengan catatan 2:11.317, menandakan peningkatan konsisten dalam penampilan sulungnya di pentas dunia.
Hakim berkata, keputusan hari pertama memberikan keyakinan untuk memperbaiki prestasi pada sesi kelayakan pada Sabtu.
“Setiap lap menunjukkan peningkatan daripada sesi ujian, dan saya lega dengan keputusan hari pertama ini.
Masih ada beberapa perkara perlu diperbaiki, termasuk pelarasan jentera dan tunggangan dalam trek, tetapi saya mesti terus maju untuk ujian masa esok,” katanya.
Anak kelahiran Terengganu itu optimis mampu menamatkan Q2 dalam kelompok lima terbaik, sekali gus memberi saingan kepada pelumba berpengalaman lain di SIC hujung minggu ini.
Sementara itu, dua pelumba negara lain yang turut beraksi menerusi tiket wildcard, Azroy Hakeem Anuar dan Muhammad Helmi Azman dari pasukan Petronas MIE Racing RW, berdepan cabaran getir apabila menamatkan sesi latihan di kedudukan tercorot.
Azroy Hakeem mencatat masa 2:08.023 untuk menduduki tempat ke-29, manakala Helmi menamatkan sesi di kedudukan terakhir dengan masa 2:08.933.