KOTA BHARU, 24 Oktober- Kelantan The Real Warriors berjaya meraih tiga mata penuh di laman sendiri selepas menumpaskan Melaka FC dalam aksi Liga Super di Stadium Muhammad IV, di sini hari ini.
Ia merupakan kemenangan ketiga buat pasukan pantai timur itu, selepas tujuh perlawanan saingan Liga Super musim ini.
Pada aksi malam ini, pasukan tuan rumah berjaya mendapat gol pertama pada minit ke-36 selepas pemain Import Melaka FC Michael Ozor tertampan bola hantaran lintang pemain KTRW Muhammad Syahir.
Memasuki babak kedua Melaka FC cuba memperkemas permainan bagi mencari gol penyamaan perlawanan, namun gagal susulan kekebalan benteng pertahanan KTRW.
Kelantan TRW berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-88 menerusi rembatan pemain gantian Muhammad Danial Haqim, dari luar kotak penalti.
Melaka FC berjaya bangkit pada penghujung perlawanan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Juan Silva.
Bagaimanapun gol itu tidak cukup untuk menghalang tuan rumah daripada memenangi perlawanan itu sekali gus meraih tiga mata.-BERNAMA