fb fb fb fb fb

Lebih 1 juta belia sertai Rakan Muda

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 11 November- Lebih sejuta belia menyertai keahlian program Rakan Muda di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Jelas Menterinya, Hannah Yeoh, ia sekali gus mencapai sasaran awal pelaksanaan program berkenaan iaitu sejuta keahlian.

Tambahnya, pencapaian itu direalisasikan menerusi lebih 3,000 program yang memanfaatkan belia dari pelbagai usia.

Sejumlah RM20 juta diperuntukkan bagi menggerakkan lebih banyak program untuk golongan belia.

"RM20 juta ini kita akan rancangkan duit ini akan sampai ke setiap negeri yang akan menjalankan program Rakan Muda untuk mengisi masa lapang belia," katanya kepada pemberita pada majlis Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2023 di sini.

Dalam pada itu, Intan Zulaikha Jusoh diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Inspirasi dalam majlis itu.

Kesungguhan Intan Zulaikha dalam memastikan anak murid Orang Kurang Upaya (OKU) menamatkan larian menerusi sebuah video tular menjentik hati banyak pihak.

Guru Sekolah Kebangsaan Felda Lepar Utara 1, Jerantut, Pahang itu berharap agar kemenangan tersebut mampu memberi inspirasi buat pendidik untuk terus membantu pelajar dalam meneroka potensi diri.

APBN dianjur sejak 1988 bagi mengiktiraf usaha dan pencapaian belia dalam pelbagai latar belakang.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM