fb fb fb fb fb

Lassana Diarra tuntut 65 juta euro dari FIFA & Persatuan Bola Sepak Belgium

Bekas pemain tengah Perancis, Lassana Diarra / REUTERS

PARIS, 18 Ogos – Bekas pemain tengah Perancis, Lassana Diarra memfailkan semula tuntutan undang-undang bagi mendapatkan ganti rugi berjumlah 65 juta euro terhadap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bola Sepak Belgium.

Tindakan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Kehakiman Kesatuan Eropah (CJEU) pada Oktober lalu yang mendapati beberapa peraturan badan induk bola sepak dunia itu bercanggah dengan undang-undang EU.

Diarra yang pernah beraksi bersama Arsenal, Chelsea dan Real Madrid, sebelum ini dikenakan denda sebanyak 10 juta euro oleh FIFA selepas meninggalkan kelab Lokomotiv Moscow pada 2014, hanya setahun selepas menandatangani kontrak empat tahun.

Ketika itu, dia menerima tawaran menyertai kelab Belgium, Charleroi. Namun, perpindahan tersebut gagal direalisasikan selepas FIFA enggan mengeluarkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC), sekali gus menghalangnya daripada didaftarkan bersama persatuan bola sepak negara itu.

Situasi berkenaan mendorong Diarra membawa kes itu ke mahkamah tempatan untuk menuntut ganti rugi daripada FIFA dan Persatuan Bola Sepak Belgium.

Dalam kenyataan terbaharunya semalam, Diarra menjelaskan dia menunggu beberapa bulan sebelum memulakan semula prosiding di Belgium, dengan harapan kedua-dua pihak tampil untuk menyelesaikan kes secara baik. Namun, perkara itu tidak berlaku.

Selepas keputusan CJEU, FIFA telah meminda peraturan perpindahan pemain dengan memperkenalkan rangka kerja sementara mengenai pengiraan pampasan serta beban pembuktian jika berlaku pelanggaran kontrak.

Awal bulan ini, sebuah kumpulan pemain bola sepak Belanda turut mengumumkan persediaan memfailkan tuntutan saman secara kolektif di peringkat Eropah terhadap FIFA dan beberapa lagi persatuan bola sepak, berhubung dakwaan kehilangan pendapatan akibat sekatan dalam peraturan perpindahan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE