fb fb fb fb fb

Larian Baton SUKMA 2024 berakhir di Kuching, meriah dengan penyertaan 2,000 peserta

FOTO UKAS

KUCHING, 23 Jun- Kira-kira 2,000 peserta menyertai Larian Baton Sukan Malaysia SUKMA dan Para SUKMA Bahagian Kuching hari ini.

Acara pelepasan disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah di dataran Tebingan Kuching.

Larian sejauh 4.1 kilometer pagi tadi diketuai oleh atlet renang kebangsaan Welson Sim yang merupakan anak kelahiran Sarawak berasal dari Kuching bersama beberapa ikon atlet Sarawak yang lain.

Larian Baton SUKMA edisi ke-21 bermula April lepas di Bahagian Limbang bagi mempromosikan temasya sukan dwitahunan itu yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan dan Para Sukma pada 22 hingga 28 September kelak.

Acara larian itu telah diteruskan ke Bahagian Miri, Bintulu, Sibu, Mukah, Sri Aman, Betong, Serian, Kota Samarahan dan acara kemuncak yang berakhir di Kuching hari ini.

SUKMA 2024 bakal diadakan di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos depan melibatkan sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Temasya kali ini bakal menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingan membabitkan 488 acara dan  menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

Sarawak telah menjadi tuan rumah SUKMA sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE