HANGZHOU, 27 Oktober- Hasrat untuk melihat atlet pelari pecut 100 meter (m) lelaki T36, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi meraih sebarang pingat di Sukan Para Asia (APG) 2022 Hangzhou di sini, musnah apabila atlet itu disingkirkan kerana melakukan ‘false start’.
Acara yang berlangsung di Pusat Sukan Huanglong memperlihatkan Mohamad Ridzuan, 36, yang berada di lorong keenam memulakan larian sebelum dilepaskan oleh pengadil.
Kekecewaan amat dirasai beliau apabila temasya itu adalah APG terakhir buatnya.
Atlet tuan rumah, Deng Peicheng dan Yang Yifei masing-masing menduduki tangga pertama dan kedua, sementara Takeru Matsumoto dari Jepun meraih pingat gangsa.
Peicheng mencatatkan masa larian sepantas 11.80 saat, manakala Yifei (12.15 saat) dan Matsumoto 12.38 saat.