LONDON, 27 Oktober - Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou menganggap perjalanan pasukan tersebut masih panjang dan berliku disebalik pencapaian memberangsangkan yang ditunjukkan oleh pasukan berkenaan pada Liga Perdana Inggeris.
'Spurs' kini menduduki tangga pertama liga dengan rekod tanpa kalah selepas sembilan perlawanan, sekali gus dianggap ramai pemerhati dan peminat bolasepak berpotensi menjadi juara musim ini.
"Terdapat alasan yang begitu baik mengapa tiada pengurus yang bercakap kemungkinan menjadi juara pada bulan Oktober dan November.
"Ini kerana 'perjalanan' liga masih jauh dan panjang", kata pengurus berasal dari Australia itu kepada pemberita menjelang perlawanan menentang Crystal Palace pada Jumaat.
Tambah Postecoglou, fokusnya kini adalah untuk mengekalkan momentum kemenangan pasukan dan menangani cabaran berada dalam liga yang kompetetif.
"Saya tidak bercakap tentang kejuaraan kepada para pemain.
"Apa yang paling utama kini ialah bagaimana kita menangani cabaran berada dalam liga paling kompetetif di dunia setiap minggu", katanya.
Bekas Pengurus Celtic turut memberikan maklumat terkini berkaitan masalah kecederaan yang dialami para pemainnya termasuk Ben Davies yang tidak bermain ketika Spurs menang ke atas Fulham 2-0 Isnin lalu.
"Dia mengalami kecederaan sehari sebelum latihan.
"Malang buatnya (Davies) kerana tercedera dalam latihan yang sangat keras.
"Davies kini telah berlatih dan bersedia untuk diturunkan pada perlawanan menentang Cyrstal Palace", kata Postecoglou.
Pada perlawanan menentang Fulham Isnin lalu, Pengurus tersebut turut menggantikan dua pemain, Pape Matar Sarr dan Destiny Udogie.
"Pape berada dalam keadaan baik. Namun, kita sentiasa memantau keadaannya", kata pengurus tersebut.
Spurs mampu melebarkan pungutan mata sekiranya menang pada perlawanan menentang Crystal Palace memandangkan para pesaingnya akan bermain pada Sabtu.
Namun, Postecoglou tidak melihat keadaan tersebut sebagai kelebihan buat pasukannya.
"Ini bukan melihat sesuatu dalam jangka masa pendek, tetapi peluang untuk kejayaan kelab", katanya.
Spurs kini di puncak liga dengan 23 mata dan dijangka melebarkan rekod tanpa kalah dengan kemenangan keempat berturut-turut apabila menentang Crystal Palace yang kini menghuni tangga ke-12 liga-REUTERS