BARCELONA, 17 Julai- Bintang muda sensasi Barcelona, Lamine Yamal kini secara rasmi menyarung jersi nombor 10 kelab itu selepas menghadiri satu majlis khas menandakan lanjutan kontraknya bersama gergasi LaLiga tersebut hingga tahun 2031.
Penyerang yang berusia 18 tahun itu menyambut ulang tahun kelahirannya pada Sabtu (12 Julai), memperkukuh komitmennya kepada juara Sepanyol itu untuk tempoh enam tahun lagi.
Yamal menjadi watak penting dalam kejayaan Barcelona merangkul kejuaraan LaLiga dan Copa del Rey musim lalu.
Beliau menyumbang 18 gol dan 25 bantuan jaringan dalam 55 penampilan, pencapaian luar biasa bagi pemain muda.
Jersi ikonik nombor 10 pernah dipakai oleh legenda-legenda kelab seperti Diego Maradona, Ronaldinho dan Lionel Messi, satu penghormatan besar yang turut disusuli dengan harapan tinggi daripada penyokong dan pengurusan kelab.
"Ini adalah hidup saya. Saya sudah berada di sini sejak berusia tujuh tahun, ini adalah rumah saya.
Saya rasa bagi setiap pemain akademi, impian mereka adalah untuk bermain bersama pasukan utama dan saya berjaya merealisasikannya. Saya akan terus bekerja keras," kata Yamal kepada media.
Dalam perkembangan berasingan, sambutan ulang tahun kelahiran Yamal turut mencetuskan kontroversi apabila sebuah kumpulan hak asasi orang kurang upaya di Sepanyol mengumumkan rancangan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau.
Ia berhubung laporan penggunaan individu bertubuh kecil sebagai hiburan pada majlis tersebut dan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai diskriminatif.
Majlis yang berlangsung pada Sabtu lalu (12 Julai) itu turut dihadiri selebriti terkenal dari industri muzik seperti Bizarrap, Bad Gyal dan Quevedo, selain personaliti media sosial dan rakan sepasukannya.
Mengulas isu terbabit, Yamal menegaskan bahawa kehidupan peribadi dan kerjaya sukan beliau perlu dipisahkan dan dinilai secara berasingan. -REUTERS