LAS VEGAS, 17 Julai – Legenda tinju dunia, Manny Pacquiao menyuarakan komitmennya untuk menghiburkan para peminat dalam aksi kemunculan semula menentang juara bertahan Welterweight Dunia WBC, Mario Barrios, yang dijadual berlangsung Sabtu ini di MGM Grand, Las Vegas.
Pacquiao, 46, yang juga bekas senator Filipina, sebelum ini mengumumkan persaraannya daripada tinju profesional selepas tewas kepada Yordenis Ugas dari Cuba pada Ogos 2021.
Namun, selepas hampir empat tahun meninggalkan gelanggang, beliau kembali untuk mencabar gelaran dalam aksi yang dinanti-nantikan.
“Saya mahu peminat menikmati pertarungan ini. Saya kembali bukan untuk sekadar bertanding, tetapi untuk memberi hiburan kepada semua,” kata Pacquiao pada sidang media pra-pertarungan.
Manny Pacquiao (kiri) dan Mario Barrios (kanan) / Foto AFP
MGM Grand bukanlah asing buat ikon tinju itu, yang telah menjadi acara utama sebanyak 16 kali di gelanggang berprestij tersebut sepanjang kariernya.
Barrios, 30, dalam reaksinya menghormati figura Pacquiao, namun tetap bertegas untuk mempertahankan gelarannya.
“Pacquiao memang legenda, tetapi ini masa saya sekarang,” katanya ringkas sambil memberi bayangan bahawa beliau tidak gentar menghadapi cabaran veteran tersebut.
Sepanjang kariernya, Pacquiao mencatat sejarah sebagai satu-satunya petinju dunia yang memenangi gelaran utama dalam lapan kelas berat berbeza, dengan 12 kejuaraan dunia dikumpul, menjadikannya antara atlet terunggul dalam sejarah sukan tinju. -REUTERS