BARCELONA, 21 Disember - Gol lewat perlawanan oleh Sergi Roberto berjaya menyelamatkan maruah Barcelona sekali gus mengukuh kedudukan pasukan berkenaan di La Liga dengan kemenangan 3-2 mengatasi Almeria.
Pada perlawanan tersebut, Barcelona berjaya membuka jaringan menerusi Raphinha pada minit ke-33 hasil kesilapan pertahanan Almeria yang gagal mengeluarkan bola hasil sepakan sudut.
Almeria kemudian menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Leo Baptista pada minit ke-41.
Bersambung babak kedua, Barcelona berjaya mendahului 2-1 hasil tandukan Sergi Roberto berpunca daripada sepakan percuma di luar kotak penalti pada minit ke-60
Kedudukan tersebut tidak bertahan lama apabila Almeria menyamakan kedudukan pada minit ke-71 menerusi jaringan Edgar Gonzalez.
Sergi Roberto menjadi wira Barcelona apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan pada minit ke-83.-AFP.