fb fb fb fb fb

Piala Itali: Inter Milan tersingkir

FOTO FB SerieA

MILAN, 21 Disember - Bologna mengejutkan bekas juara, Inter Milan 2-1 bagi mara ke pusingan 16 terakhir Piala Itali pada Rabu.

Gol menerusi pemain pertahanan Bologna, Sam Beukema dan penyerang Dan Ndoye pada masa tambahan membolehkan pasukan berkenaan menempah tiket suku akhir menentang Fiorentina.

Pada perlawanan yang dilangsungkan di San Siro itu, pengurus Inter, Simone Inzaghi membuat beberapa pertukaran pemain dengan meletakkan perancang Hakan Calhanoglu dan penyerang Marcus Thuram di bangku simpanan.

Bologna yang dibimbing oleh bekas pemain tengah Inter, Thiago Motta sesekali melakukan percubaan bagi menguji gawang Inter pada separuh masa pertama di sebalik dominasi pasukan tersebut.

Inter terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Carlos Augusto pada minit akhir separuh masa pertama selepas menanduk masuk sepakan sudut Federico Dimarco bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun buntu bagi menghasilkan jaringan.

Memasuki masa tambahan, Bologna berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-112 menerusi Sam Beukema.

Bologna akhirnya berjaya memperolehi gol kemenangan menerusi penyerang, Dan Ndoye pada minit ke-116.

Bologna bakal disertai Fiorentina, Lazio dan Frosinone yang mencipta kejutan selepas membenamkan juara liga, Napoli 4-0.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD