fb fb fb fb fb

La Liga: Dua gol Rapinha kukuhkan cengkaman Barcelona di puncak liga

FOTO AFP

BARCELONA, 14 Disember – Bintang Brazil, Raphinha, menjaringkan dua gol untuk membantu Barcelona mencatat kemenangan tipis 2-0 ke atas Osasuna, sekali gus melebarkan jurang kepada tujuh mata di puncak La Liga.

Pada perlawanan berkenaan, penyerang Barcelona, Ferran Torres hampir meletakkan Barca di hadapan pada awal perlawanan, namun percubaannya melambung tinggi.

Torres kemudian menanduk masuk hantaran Marcus Rashford, namun jaringan tersebut dibatalkan kerana ofsaid. Pemain antarabangsa Sepanyol itu turut melakukan sepakan gunting yang sekadar melewati palang gol.

Osasuna berpeluang menambah jaringan menerusi percubaan Ante Budimir yang berjaya dinafikan oleh Penjaga gol Barca, Joan Garcia seminit sebelum masa rehat.

Bersambung babak kedua, Barcelona akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan menerusi rembatan kencang Rapinha hasil hantaran Pedri pada minit ke-70.

Rapinha sekali lagi membuktikan ketajaman penyudahnya dengan gol kedua pada penghujung perlawanan bagi kemenangan ketujuh berturut-turut sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah di di laman sendiri Camp Nou.

“Raphinha sangat penting. Dia menjaringkan dua gol dan merupakan pemain utama. Dia bertahan dan menyerang. Dia sangat penting untuk kami,” kata pengendali Barcelona, Hansi Flick.

“Mungkin kami tidak mempunyai banyak peluang, tetapi kami menjaringkan dua gol dan memperoleh tiga mata", tambahnya.

Sementar itu, Madrid, Atletico Madrid kembali ke landasan kemenangan dengan menewaskan Valencia 2-1, hasil jaringan Koke dan gol menarik daripada Antoine Griezmann.

Kemenangan itu memberikan kelegaan buat skuad kendalian Diego Simeone, yang kini berada di tangga keempat namun masih ketinggalan sembilan mata di belakang Barcelona.

“Kami sukar mendapatkan rentak permainan, dan akhirnya pemain gantian memberikan percikan serta kelajuan yang diperlukan untuk menang,” kata Griezmann kepada DAZN.

Valencia terlebih dahulu mengancam pintu gol Atletico menerusi percubaan Hugo Duro yang terkena palang sebelum Atletico membuka jaringan hasil sepakan penjuru yang disudahkan Koke.

Valencia menyamakan kedudukan selepas sejam permainan apabila rembatan jarak jauh Beltran menewaskan Jan Oblak.

Namun Griezmann muncul wira dengan sentuhan kelas dunia untuk memastikan tiga mata milik Atletico.

Dalam pada itu, Espanyol yang berada di tangga kelima meneruskan permulaan musim yang memberangsangkan dengan kemenangan 1-0 ke atas Getafe, hasil tandukan Leandro Cabrera pada awal separuh masa kedua, sekali gus menghidupkan peluang mereka ke saingan Eropah musim depan.

Sementara itu, perlawanan Villarreal di tempat lawan menentang Levante berkemungkinan ditangguhkan susulan ramalan ribut, dengan Majlis Perbandaran Valencia meminta La Liga menggantung perlawanan tersebut. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD