fb fb fb fb fb

Amer Harris bukti sukan permotoran Malaysia mampu tembusi pentas dunia

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 14 Disember - Pelumba profesional muda negara, Amer Harris Jefry, membuktikan kejayaan di pentas dunia tetap mampu dicapai walaupun sukan permotoran masih dianggap sukan pinggiran dan kurang mendapat perhatian di Malaysia.

Pelumba berusia 22 tahun itu berkata, meskipun sukan permotoran memerlukan kos tinggi serta sokongan berterusan, Malaysia sebenarnya memiliki ramai bakat yang berpotensi untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa.

“Sukan ini memang tak dapat perhatian sangat di Malaysia, tapi masih ramai pelumba yang sangat berbakat. Ramai juga yang dah buktikan boleh bina nama di puncak dunia. Jadi, ia memang mampu dicapai,” katanya yang ditemui selepas menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri hari ini.

Dalam usaha mengangkat nama Malaysia, Amer kini aktif menyertai pelbagai perlumbaan antarabangsa.

Tahun ini beliau beraksi di Jepun dan akan memberi tumpuan penuh di negara itu pada musim hadapan selepas mencatat prestasi memberangsangkan.

Antara kejohanan yang disertainya termasuk Porsche Carrera Cup Asia dan GI86 All Japan Championship, dengan pencapaian tempat keempat keseluruhan serta beberapa podium.

Tahun lalu, Amer turut menjuarai Hyundai M Cup di China selain memenangi empat kejuaraan Asia dalam Go-Kart Cup.

Amer turut menasihatkan golongan muda agar tidak mudah berputus asa walaupun laluan dalam sukan permotoran penuh cabaran.

Minat Amer terhadap dunia permotoran bermula sejak usia sembilan tahun, dipengaruhi kecintaannya terhadap kereta serta sokongan bapanya yang juga meminati dunia automotif.

“Sejak kecil memang minat kereta. Ayah pun minat kereta, jadi satu hari ikut ayah pergi main go-kart dengan kawan-kawan. Sejak itu terus terjebak,” katanya.

Bagaimanapun, perjalanan Amer tidak mudah apabila terpaksa membahagikan masa antara pendidikan dan latihan perlumbaan sejak usia muda..

“Untuk saya, memang tak pernah ada ‘keseimbangan’. Kena dahulukan satu-satu. Mak pula sangat tegas dengan pembelajaran, sampai pernah larang saya main go-kart untuk fokus peperiksaan,” jelasnya.

Kesungguhan Amer mula membuahkan hasil apabila pada usia 11 tahun beliau menyertai Asia Talent Cup dan meraih tempat kedua, sebelum melangkah ke dunia perlumbaan profesional pada usia 12 tahun.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD