fb fb fb fb fb

Korea Selatan jinakkan AS pada aksi persahabatan antarabangsa

Aksi bintang Korea Selatan, Son Heung-min (kanan) bersaing dengan pemain pertahanan Amerika Syarikat, Tim Ream pada aksi persahabatan kedua-dua negara / Foto AFP

NEW JERSEY, 7 September – Son Heung-min muncul wira selepas membantu Korea Selatan menewaskan Amerika Syarikat (AS) 2-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Harrison, New Jersey, Sabtu.

Perlawanan membabitkan dua pasukan yang sudah layak ke Piala Dunia 2026 itu berlangsung di Stadium New York Red Bulls, di sini.

Son membuka jaringan pada minit ke-18 hasil hantaran Lee Jae-sung dengan rembatan kaki kiri dari sudut sukar menewaskan penjaga gol AS, Matt Freese.

Gol kedua pula hadir pada minit ke-43 menerusi gerakan satu-dua Son yang kemudian melorongkan bola kepada Lee Dong-gyeong untuk menyempurnakan jaringan.

Bintang berusia 32 tahun itu, yang bulan lalu menyertai Los Angeles FC dalam perpindahan sensasi, menjadi tumpuan penyokong Korea di AS, sehingga pengendali Hong Myung-bo menyifatkan suasana perlawanan seperti “aksi di laman sendiri”.

Kemenangan itu menjadikan rekod Korea Selatan menentang AS kini empat menang, dua kalah dan dua seri, sekali gus menamatkan penantian sejak kekalahan terakhir pada aksi di laman lawan pada 2014.

Pasukan AS yang dibimbing Mauricio Pochettino, bekas pengendali Son di Tottenham Hotspur masih gagal mendapatkan momentum selepas kekalahan 1-2 kepada Mexico dalam aksi akhir Piala Emas CONCACAF Julai lalu, meskipun menyenaraikan semula Christian Pulisic.

“Kami masih cuba mencari keserasian, masih ada yang perlu diperbaiki,” kata pemain tengah AS, Sebastian Berhalter.

Kapten AS, Tim Ream pula mengakui kelemahan pasukannya di separuh masa pertama.

“Mereka terlalu mudah menembusi kami. Separuh masa kedua lebih baik selepas beberapa perubahan.”

Son digantikan Oh Hyeon-gyu pada minit ke-63 sebelum kedua-dua pasukan melakukan beberapa pertukaran.

Penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon-woo memastikan gawangnya kebal dengan menafikan percubaan Chris Richards dan Folarin Balogun pada masa kecederaan.

“Kami sebenarnya bermain lebih baik, tetapi tidak menyempurnakan peluang,” kata Pochettino.

“Walaupun tewas, ada peningkatan sejak Piala Emas CONCACAF", tambahnya.

AS seterusnya akan menentang Jepun di Columbus, Ohio pada Selasa, manakala Korea Selatan bertemu Mexico di Nashville, Tennessee. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD