LONDON, 10 April- Liverpool dilaporkan sedang mencapai kemajuan dalam rundingan kontrak baharu Mohamed Salah, dengan keyakinan semakin meningkat bahawa penyerang Mesir itu akan terus beraksi di Anfield musim depan.
Menurut laporan media tempatan pada Rabu, kontrak bintang berusia 32 tahun itu akan tamat pada penghujung musim ini, bersama dua lagi tonggak pasukan iaitu Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold.
Alexander-Arnold sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan percuma ke Real Madrid, manakala Van Dijk memaklumkan selepas kekalahan 3-2 kepada Fulham pada Ahad lalu bahawa perbincangan bagi lanjutan kontrak beliau sedang berjalan lancar.
Walaupun tiada persetujuan muktamad dicapai setakat ini, sumber kelab memaklumkan wujud harapan tinggi untuk melihat Salah dan Van Dijk kekal di Merseyside.
Salah kini memimpin carta penjaring Liga Perdana Inggeris musim ini dengan 27 gol, menjadikan jumlah keseluruhan jaringannya bersama Liverpool kepada 243 gol dalam 394 penampilan sejak menyertai kelab itu dari Roma pada 2017.
Sepanjang bersama Liverpool, Salah telah menjulang lapan trofi termasuk gelaran Liga Juara-Juara Eropah serta membantu kelab tersebut menamatkan kemarau 30 tahun untuk menjuarai Liga Perdana pada tahun 2020.
Pemenang dua kali Anugerah Pemain Terbaik Afrika itu pernah dikaitkan dengan perpindahan lumayan ke Arab Saudi, namun secara konsisten menyatakan bahawa keutamaannya adalah untuk terus kekal bersama The Reds.
Bagaimanapun, pada November lalu, beliau pernah mengakui bahawa dirinya mungkin lebih cenderung keluar daripada kekal di Liverpool sebelum kemudian menyatakan bahawa perjanjian masih jauh untuk dimuktamadkan.-AFP