KUALA LUMPUR, 10 April- Acara memanah kompaun bakal membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) menerusi penyertaan acara berpasukan campuran, susulan pengumuman oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) semalam.
Ini merupakan kali pertama kategori baharu diperkenalkan dalam program sukan memanah Olimpik sejak 1972, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan acara pingat kepada enam.
Lima acara sedia ada melibatkan kategori recurve: individu lelaki dan wanita, berpasukan lelaki dan wanita, serta berpasukan campuran.
Presiden World Archery Prof Dr Ugur Erdener menyambut baik keputusan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu langkah penting ke hadapan untuk sukan memanah serta komuniti globalnya.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada IOC, khususnya Presidennya Thomas Bach atas minat mendalam terhadap projek penting ini, serta Jawatankuasa Penganjur LA28 atas sokongan berterusan sepanjang proses ini.
"Saya amat berbangga dengan usaha seluruh komuniti memanah dan para atlet kita yang telah membantu merealisasikan impian ini. Saya juga tidak sabar untuk menyaksikan pencapaian atlet kompaun Olimpik pertama kita di Los Angeles," katanya dipetik daripada laman web rasmi World Archery.
Memanah kompaun, yang menggunakan busur yang dilengkapi dengan mekanisme katrol (pulley) untuk meningkatkan ketepatan dan kuasa, telah menjadi sebahagian daripada Kejohanan Dunia Memanah sejak 1995 dan turut dipertandingkan dalam Sukan Dunia serta acara peringkat benua yang lain.
Maklumat lanjut mengenai format pertandingan, jumlah atlet, jadual kelayakan, dan jadual acara untuk Sukan Olimpik LA28 akan diumumkan dari semasa ke semasa.- BERNAMA