fb fb fb fb fb

Konsep Malaysia Madani perlu diamal dalam sukan - PM

(Anwar ketika hadir pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil hari ini/FOTO Bernama)

KUALA LUMPUR, 31 Januari - Semua persatuan sukan digesa mengamalkan konsep 'Malaysia Madani' dengan menghormati dan meraikan perbezaan agama serta budaya semua kaum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara aspek penting yang mampu memberi kesan kepada prestasi keseluruhan persatuan,mahupun atlet.

Beliau mengambil contoh bekas pengurus kelab bola sepak Manchester United, Sir Alex Ferguson yang mengecap kejayaan dengan resipi meraikan perbezaan budaya dan agama dalam kalangan pemain.

"Kerana ini soal perpaduan, kita mahu kita menang, anak Malaysia menang, kalau kebetulan Melayu, Alhamdulillah -- kalau yang Cina, Buddha atau Hindu ini merupakan satu kegembiraan besar bagi seluruh rakyat.

"Inilah kekuatan kita, saya juga seperti saudara ada minat sukan-sukan tertentu. Setiap kali menang kita tidak tanya dia dari Sarawak atau dari Perlis, kita tidak tanya dia Muslim, Hindu, Melayu atau Cina.

"Kita merupakan kebanggaan bagi negara Malaysia tercinta," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 di Dewan Banquet Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini hari ini.


Beliau turut menggesa semua persatuan sukan menjaga penuh kebajikan atlet kerana sumbangan ahli sukan tidak boleh diremehkan.

“Mereka sentiasa berusaha untuk berjaya, mereka tak mungkin cemerlang tanpa usaha atau menjaga kebajikan atlet, memberi kasih sayang dan kebajikan kepada mereka.

“Sebab itu, bila kita dengar ada satu dua keterlanjuran yang pihak diamanahkan menjaga anak sukan, saya bersetuju langkah diambil oleh menteri kita, ia memberi mesej jelas bahawa kita tidak boleh ansur dalam apa-apa tindakan mengenai anak-anak yang dalam latihan kerana mereka anak-anak kita.

Majlis berprestij itu turut dihadiri Menteri dan Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh dan Adam Adli Abd. Halim, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selaku Presiden Majlis Olimpik Malaysia serta kepimpinan persatuan dan badan sukan negara.

Media Baharu