fb fb fb fb fb

KHM harap lebih banyak badan korporat tampil

(Kepulangan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan disambut oleh Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal di KLIA pagi tadi/FOTO Facebook KHM)

SEPANG, 31 Januari - Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berharap lebih banyak badan korporat tampil membantu memajukan industri hoki negara.

Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, ini kerana sukan hoki Malaysia berpotensi besar dan sentiasa bersaing di pentas tertinggi antarabangsa.

Ini terbukti dengan kejayaan skuad 'The Speedy Tigers' kendalian Arul Selvaraj yang melakar prestasi membanggakan dalam kejohanan Hoki Piala Dunia Lelaki baru-baru ini.

"Kami amat-amat berharap kerana sekarang kita berada di pentas dunia, kita perlukan sebanyak mungkin sokongan kerana saya sentiasa percaya yang sukan menyatukan rakyat dan hoki adalah sukan yang sebenarnya beraksi baik di pentas dunia.

"Kita boleh pergi jauh, kita layak ke Piala Dunia, kita mampu ke olimpik jadi kita sangat perlukan sebanyak mungkin sokongan dari sektor korporat di luar sana," katanya ketika menyambut ketibaan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang tiba dari India awal pagi tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

(Kepulangan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan disambut oleh Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal di KLIA pagi tadi/FOTO Facebook KHM)

Menurut Subahan, selain skuad senior, pasukan muda negara juga bakal bersaing di pentas Piala Dunia Remaja hujung tahun ini.

Skuad hoki lelaki negara selamat tiba di KLIA dari India kira-kira pukul 3.46 pagi tadi.

Anak buah Arul Selvaraj bakal pulang ke pangkuan kelab masing-masing bagi menghadapi Liga Hoki Kebangsaan yang dijadualkan bermula pada 9 Februari.

Skuad 'The Speedy Tigers' kemudian bakal menghadapi misi penting di Sukan Asia di Hangzhou, China pada September.

Ia bakal menjadi platform kelayakan secara automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024

Media Baharu