fb fb fb fb fb

Kompleks sukan Muay Thai akan dibina di Kelantan

KOTA BHARU, 21 Mei - Sebuah kompleks sukan Muay Thai akan dibina di Kelantan membabitkan kerjasama strategik antara pihak swasta dan kerajaan negeri.

Kompleks sukan yang dijangka menelan belanja antara RM8 juta hingga RM10 juta itu melibatkan pembinaan beberapa komponen utama seperti mini stadium dan pusat latihan selain gerai-gerai jualan barangan sukan terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Makmur Gold, Mohd. Faizuddin Che Mahmood berkata beberapa lokasi sekitar jajahan Machang, Tumpat dan Kota Bharu telah dikenalpasti bagi tujuan pembinaan tersebut.

"Cuma kita tengah dapat maklum balas daripada kerajaan negeri yang mana kerajaan negeri dapat bantu kita dari segi tanah dan lokasi yang sesuai, kita akan bangunkan segera kompleks Muay Thai, bukan hanya stadium tapi kompleks pusat latihan dan juga satu industri pelancongan sukan yang akan hidup la di negeri Kelantan," kata beliau selepas Majlis Penyampaian Hadiah kepada Pemenang Cabutan Bertuah Pertandingan Makmur Gold International Muay Thai Fight 2022, di sini.


(AksiĀ Pertandingan Makmur Gold International Muay Thai Fight 2022 yang berlangsung malam tadi)

Mengulas lanjut, Mohd. Faizuddin berkata usaha yang dibuat merupakan perancangan jangka panjang selari dengan hasrat pihaknya untuk melahirkan 1,000 peninju berkelas dunia dari negeri itu bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pertandingan yang disertai 14 orang peninju Muay Thai termasuk dari luar negara seperti Brazil, Thailand dan Kemboja itu julung kali diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu malam tadi.

Lebih 10,000 peminat sukan berkenaan dari seluruh negara hadir menyaksikan pertarungan itu dan ia akan dijadikan penanda aras kepada penganjuran acara sukan Muay Thai berskala besar di negara ini pada masa akan datang.

Media Baharu