fb fb fb fb fb

Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony Seberang Jaya siap setahun lagi

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (tengah) menunjukkan lakaran menaik taraf Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony pada majlis pecah tanah hari ini/Foto Facebook Menteri Pulau Pinang

BUTTERWORTH, 2 Mac – Penduduk di kawasan Seberang Jaya bakal menikmati kemudahan sukan bertaraf antarabangsa menerusi pembangunan Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony yang dijangka siap dalam tempoh setahun.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kompleks bernilai RM12 juta melalui tender terbuka itu akan menyediakan pelbagai fasiliti sukan.

Tambah beliau, kerja pembinaan di atas tanah berkeluasan 3.4 hektar itu dijangka siap menjelang awal Mac tahun depan sebelum dibuka untuk kegunaan orang ramai.

"Kompleks sukan berkeluasan lebih lapan ekar ini bakal menyediakan sebuah padang bola sepak jenis rumput tiruan dengan 200 tempat duduk penonton. Selain itu, ia juga akan dilengkapi dengan lima gelanggang futsal dengan salah satu daripadanya adalah bersaiz FIFA, gelanggang badminton (12) dan gelanggang pickel ball (5).

"Kemudahan lain yang turut disediakan adalah seperti bilik persalinan, gimnasium, kedai, surau, tandas, bilik mesyuarat, tempat letak kereta dan lain-lain lagi.

"Projek ini dijangka mengambil masa setahun sebelum dapat dibuka kepada orang awam. Ia akan menjadi pusat sukan moden yang mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat dalam menitikberatkan aspek kesihatan dan gaya hidup aktif," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony di Seberang Jaya, hari ini.

Kompleks sukan ini dijangka menjadi hab aktiviti riadah dan pembangunan atlet tempatan dengan tawaran kemudahan berkualiti pada harga berpatutan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen,  Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Sportizza Sdn Bhd Chiew Chun Yong dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Baderul Amin Abdul Hamid.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN