fb fb fb fb fb

Had masa pegang bola penjaga gol kini 8 saat

Foto REUTERS

LONDON, 2 Mac– Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) telah meluluskan peraturan baharu yang menetapkan bahawa penjaga gol yang memegang bola lebih daripada lapan saat akan menyebabkan pasukan lawan diberikan sepakan sudut.

Sebelum ini, Undang-Undang 12.2 menetapkan bahawa penjaga gol hanya dibenarkan memegang bola selama enam saat sebelum pasukan lawan diberikan sepakan percuma tidak langsung.

Peraturan berkenaan akan berkuat kuasa pada musim depan, dengan pengadil dibantu oleh kiraan visual selama lima saat sebelum memberikan keputusan.

"Selepas ujian menunjukkan kesan positif dalam mengurangkan masa pembaziran, IFAB telah sebulat suara memutuskan untuk meminda Undang-Undang 12.2," kata badan itu selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-139 yang dihoskan oleh Persatuan Bola Sepak Ireland.

"Jika penjaga gol memegang bola lebih dari lapan saat (dengan pengadil menggunakan kiraan visual lima saat), sepakan sudut akan diberikan kepada pasukan lawan," tambah kenyataan itu.

Selain peraturan untuk penjaga gol, IFAB juga mengumumkan bahawa pertandingan bola sepak boleh menguatkuasakan undang-undang baharu yang hanya membenarkan kapten pasukan berkomunikasi dengan pengadil.

Peraturan ini telah diperkenalkan di Liga Perdana Inggeris musim ini dan akan digunakan di Euro 2024.

"Kerjasama dan komunikasi lebih baik antara kapten dan pengadil boleh meningkatkan keadilan serta rasa hormat dalam perlawanan," kata IFAB.

Perubahan lain melibatkan Undang-Undang 8.2, yang berkaitan dengan bola jatuh (drop ball).

Jika bola berada di luar kotak penalti ketika permainan dihentikan, ia akan diberikan kepada pasukan yang menguasai bola pada waktu itu atau yang sepatutnya mendapat bola berdasarkan keputusan pengadil. Sekiranya tiada pihak menguasai bola, ia diberikan kepada pasukan terakhir yang menyentuhnya.

Peraturan baharu ini akan berkuat kuasa pada Piala Dunia Kelab FIFA 2025, yang turut dijadikan medan ujian bagi penggunaan kamera badan oleh pengadil dalam perlawanan secara langsung. IFAB menyatakan bahawa penggunaan kamera badan telah memberikan kesan positif terhadap tingkah laku pemain dalam liga akar umbi di England, dan ujian lanjut akan dilakukan.

IFAB terdiri daripada empat persatuan bola sepak Britain (England, Scotland, Wales dan Ireland Utara) yang masing-masing mempunyai satu undi, manakala FIFA, yang mewakili 207 negara ahli lain, mempunyai empat undi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD