MANCHESTER, 3 Mac- Musim suram Manchester United berterusan apabila juara bertahan Piala FA itu tersingkir selepas tewas 4-3 dalam penentuan sepakan penalti kepada Fulham dalam perlawanan pusingan kelima pada Ahad.
Pasukan kendalian Ruben Amorim ketinggalan selepas gol pembukaan Calvin Bassey pada separuh masa pertama di Old Trafford sebelum Bruno Fernandes menyamakan kedudukan untuk memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan dengan keputusan 1-1.
Penjaga gol Fulham, Bernd Leno, menjadi wira pada penentuan penalti apabila menyelamatkan sepakan Victor Lindelof dan Joshua Zirkzee, manakala semua empat sepakan Fulham berjaya disempurnakan.
Dihambur dengan sorakan ejekan pada waktu rehat, keputusan tersebut menjadi satu lagi episod malang buat United dalam musim yang menyaksikan mereka terperosok di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris.
Pemenang 13 kali Piala FA itu telah mara ke final dalam dua musim terakhir dan menewaskan Manchester City untuk menjulang trofi musim lalu.
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim berkata pasukannya memiliki deretan peluang, namun gagal mengambil kesempatan menjaringkan gol.
Pada perlawanan berkenaan, Rasmus Hojlund melepaskan peluang awal apabila rembatannya tersasar selepas menerima hantaran silang daripada Christian Eriksen. Penyerang yang menjadi bahan kritikan itu kini mengalami kemarau jaringan dalam 18 perlawanan berturut-turut.
Percubaan Eriksen pula ditepis oleh Leno, tetapi itu tidak cukup untuk meredakan kekecewaan peminat yang sudah bertahun-tahun menyaksikan kegagalan United.
"Ia sukar. Kami memiliki peluang terbaik dalam perlawanan tetapi dalam penentuan penalti, apa sahaja boleh berlaku dan hari ini bukan hari kami," kata Amorim.
"Saya tahu kami sedang mengalami kekalahan dan kehilangan trofi musim ini, tetapi matlamat utama adalah untuk memenangi Liga Perdana.
"Saya tidak tahu berapa lama ia akan mengambil masa, tetapi jika kita berfikiran seperti itu, kita boleh bertahan dalam kekalahan ini", katanya.
Amorim mengakui kehidupan di United kini "sukar", dan kekalahan kepada Fulham menjadi tamparan terbaru kepada jurulatih Portugal itu, yang tiba pada November lalu menggantikan Erik ten Hag yang dipecat.
United bakal berdepan Real Sociedad dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Europa pada Khamis sebelum menanti kunjungan Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris.-AFP.