KUALA LUMPUR, 19 April- Presiden Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menuntut komitmen ahli gabungan memacu badan induk itu bagi penggal 2025-2029.
Beliau menyuarakan perkara itu selepas diumumkan menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan MOM ke-44, hari ini.
Ini sekali gus melanjutkan peranannya buat penggal ketiga sejak 2018.
"Saya bayangkan yang efektif dan efisien sebab saya tidak ingin penumpang, kerana kalau berharapkan presiden sahaja ataupun timbalan presiden kita takkan jadi unit yang yang besar. Unit yang besar ini memerlukan gabungan daripada semua latar belakang.
Hari ini kita melihat latar belakang itu adalah satu acuan yang menarik. Bagi saya acuan yang menarik ini diperlukan untuk kita memantapkan dari segi pelaksanaan kerja olimpik di negara kita," kata Tan Sri Norza kepada pemberita, hari ini.
Datuk Nur Azmi Ahmad pula dilantik sebagai Timbalan Presiden.
Beliau yang juga Presiden Persekutuan Karate Malaysia mengetepikan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz dengan kemenangan 70-20.
Sementara itu, Tan Sri Norza turut menggariskan tiga agenda utama yang akan menjadi tumpuan dalam masa terdekat.
Ini termasuk meneruskan pembinaan bangunan Olympic House Malaysia di Bukit Jalil.