KUALA LUMPUR, 19 April- Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengumumkan untuk meneruskan karier tetapi sebagai pelumba profesional.
Ini bagi memastikan semua peruntukan dapat diberi kepada pelumba lain yang sedang meningkat naik.
"Saya mengambil keputusan secara kolektif secara bersama untuk kembali aktif dalam arena sukan lumba basikal secara kompetetif.
Namun begitu, perjalanan kali ini adalah sedikit berbeza pada sebelumnya seperti yang dinyatakan oleh YB Hannah tadi, saya akan keluar dan tidak akan bersama dengan pasukan kebangsaan," kata Datuk Azizulhasni kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama Majlis Sukan Negara(MSN) dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Meski bergerak secara profesional, beliau sedia kembali menyarung jersi negara jika khidmatnya diperlukan terutamanya bagi temasya Sukan Asia dan Komanwel tahun depan.
Sementara itu, Hannah Yeoh mengumumkan peruntukan geran individu berjumlah RM200,000 kepada Datuk Azizulhasni.
Inisiatif bertujuan menyokong hasrat beliau untuk bergerak secara profesional.
Hannah memaklumkan, peruntukan itu merangkumi kos jurulatih, latihan, kejohanan, peralatan serta sokongan perubatan dan sains sukan.
KPI dan sasaran juga kita telah berikan iaitu persiapan untuk Sukan Asia. Setelah kita berbincang beberapa sumbangan ataupun jenis sokongan yang perlu diberikan, kita rasa geran individu ini paling sesuai untuk beliau kerana ini fleksibel untuk beliau mengikuti program latihan dengan sendiri," kata Hannah kepada pemberita.